Pada hari ini dan saat ini,
dengan rasa rendah hati, kami bermunajat memohon taufik dan hidayahMu.
Jadikanlah majlis perasmian
bengkel /mesyuarat ini, sebagai majlis yang Engkau redai dan berkati. Ya Allah,
berilah kami kekuatan, agar dapat mempergunakan seluruh tenaga dan pemikiran,
bagi menjana satu nafas baru untuk berkongsi ilmu dan maklumat, moga mampu
menangani keperluan dan tuntutan semasa, selari dengan era bestari dan
globalisasi.
Lantas dengan kehendak dan hidayahMu
ya Allah, mampu melahirkan generasi yang memiliki minda yang subur dan kreatif,
kemahiran yang mapan dan semangat yang mantap, mampu beraksi di pentas dunia,
berteraskan neraca iman dan tauhid.
Engkau gemblengkanlah seluruh
tenaga kami ya Allah untuk mengempur anjakan pemikiran dan sikap dalam kalangan
kami, agar bersedia membuka tingkap minda, untuk menerima perubahan, khususnya
dalam menghadapi era teknologi maklumat. Cetuskan idea, dan gerakkan minda
kami, untuk terus menjana kecemerlangan dalam arena pendidikan dalam kalangan
anak didik kami, dalam tiga dimensi iaitu intelektual, iman dan akhlak. Atas
kebesaranMu ya Allah, kami mengharap pertolongan dan rahmatMu yang
berpanjangan.
Ya Allah, Engkau jinakkanlah
hati-hati anak-anak didik kami, untuk sentiasa mengingatiMu, sentiasa merasakan
kehadiranMu dalam diri mereka, tanpa batasan waktu, keadaan dan tempat.
Jadikanlah mereka generasi pelajar yang celik al-Quran dan fardhu ain, untuk
sentiasa beribadah kepadaMu. Pahatkanlah nama-nama kami ya Allah, ibu bapa kami,
guru-guru kami dan seluruh anak didik kami, di pintu syurgaMu.
Ya Allah, Engkau mantapkanlah
semangat dan hasil kerja kami, untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan,
dengan penuh dedikasi dan cekal, ke arah menjana kecemerlangan yang berterusan.
Sesungguhnya kami sedar ya Allah,
bahawa kami tidak berdaya menjalankan tugas dengan sempurna, melainkan dengan
keizinan dan kehendakMu. Justeru itu, Engkau gilapkanlah minda kami, agar mampu
berfikir menjangkau zaman, serta mampu membuat perancangan di luar kebiasaan.
Dengan penuh jujur dan ikhlas, dalam melaksanakan segala tugas. Moga, segala
usaha kami berada di dalam keredaanMu ya Tuhan.
Ya Allah, kami memohon kepadaMu
agar Engkau memberi kekuatan untuk kami mengaplikasikan segala pengisian yang
diperbincangkan di akhir bengkel / mesyuarat ini nanti, mudah-mudahan yang
dirancang mampu terlaksana dan segala hasrat serta impian kami akan dikabulkan
olehMu ya Allah.
Ya Allah, wahai Tuhan kami,
jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang Engkau rahmati, dan
perpisahan kami selepas daripada majlis ini sebagai perpisahan yang terpelihara
daripada sebarang bala bencana dan kemaksiatan.
Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua
ibu bapa kami dan dosa mukminin dan mukminat seluruhnya sama ada yang hidup
mahupun yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kami.
Ya Allah, kurniakanlah kepada
kami kebaikan hidup di dunia dan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab
api neraka.Aameen.
Hj Muhidir Hj Tamjis
Senjata Mukmin
No comments:
Post a Comment