Thursday, November 21, 2013

Sementara kita bertangguh, nyawa makin berkurang

Hikmat 56

Bertangguh mengurangkan umur. Pengurangan umur adalah pengurangan nyawa. Bukankah satu kerja bodoh jika diri kita ini berterusan mengurangkan nyawa sendiri? Seboleh-bolehnya hendak panjang umur, panjang nyawa tapi apa gunanya kalau dalam masa yang sama asyik mengurangkan nyawa?

Bertangguh dibolehkan jika ia ke arah keburukan dan kejahatan. Bila bergerak hendak melakukan kejahatan dan keburukan – segera tangguhkan. Menangguhkan tindakan keburukan dan kejahatan akan menambah nyawa bukan menyingkatkan.

Lakukan sahaja! Jangan teruskan kegiatan anda membunuh diri – mengurangkan nyawa setiap hari di mana akhirnya nanti menyebabkan mati dalam hidup atau kerap disebut sebagai bangkai bernyawa. Mahukah anda membunuh diri anda sendiri dengan cara mengurangkan nyawa setiap hari?
 
Apa sebenarnya yang ditunggu dan difikir lagi? Biasanya bila diajukan soalan begini – jawapannya ialah tiada – tak ada apa yang hendak ditunggu dan difikir hingga membolehkan bertangguh. Masa adalah singkat dan cepat sangat berlaku, jadi mampukah anda menyesal bila suatu hari nanti kerana suka bertangguh pada hari ini. Kalau hari ini menyesali, masih ada masa untuk menebus kekesalan itu, tapi bagaimana kalau menyesal di hari tua dan sudah tidak cukup masa untuk menebus kekesalan?

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

No comments:

Post a Comment