Hikmat 57
Doa adalah senjata mukmin yang
paling kuat, jika betul caranya. Tetapi ramai yang salah faham tentang doa. Ramai yang mengabaikan
perkara penting yang perlu dilakukan untuk mengiringi doa. Kerana itulah dalam
kebanyakkan masa doa seperti tidak makbul. Kita berdoa mahukan kebaikan tetapi
fizikal kita setiap hari melakukan keburukan; hati kita setiap saat berselubung
dengan keburukan dan kejahatan. Jadi layak atau tidak doa tersebut makbul?
Hanya berdoa sepanjang masa tanpa berusaha
adalah satu cara yang sangat menyalahi hukum Islam. Islam tidak pernah menyuruh
umatnya berdoa tanpa bekerja atau berusaha sebagaimana yang didoakan. Sepanjang
masa berdoa minta dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur tetapi tidak pernah
berusaha untuk menambahkan rezeki, tidak pernah gigih berusaha mencari rezeki
yang terlalu banyak di sekeliling kita. Minta panjang umur tetapi tidak pernah
berusaha untuk mempertingkatkan tahap kesihatan supaya mampu memanjangkan umur.
Dua tangan yang berusaha jauh lebih baik dari
1000 tangan yang hanya menadah doa, menunjukkan betapa pentingnya berusaha,
tidak sekadar menadah tangan berdoa. Bukan maknanya berdoa itu tidak penting.
Doa sama penting dengan usaha tetapi mestilah beringat bahawa doa tanpa usaha
adalah perbuatan yang sia-sia.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment