Thursday, November 28, 2013

Burung yang akan mati hanya berjalan, tidak lagi terbang


Hikmat 87

Apa tanggapan anda bila masuk ke sebuah kedai, produk tidak lagi tersusun dengan cantik, banyak rak-rak yang kosong dan berdebu. Keadaan dalam kedai berselerak, ditambah dengan taukenya yang endah tak endah, berwajah muram dan lebih suka jika anda keluar segera dari kedai tersebut. Apa mesej yang terselindung. Mesejnya, kedai tersebut akan tutup tak lama kemudian. Burung yang akan mati tidak lagi mampu terbang sebaliknya hanya berjalan.

Contoh lain, sebuah syarikat perniagaan sejak akhir-akhir ini jualannya semakin merosot, pekerjanya makin malas nak bekerja. Taukenya juga makin lambat datang ke pejabat atau makin kerap tidak datang. Apa yang boleh dijangkakan? Tak lama kemudian perniagaan tersebut akan ditutup. Contohnya berlanjutan lagi misalnya, murid sekolah yang sudah semakin jauh dari buku, usahawan yang semakin kerap lepak-lepak di kedai kopi dan sebagainya.

Warisan hikmat ini untuk menilai prestasi pertubuhan, perniagaan dan individu. Anda boleh membuktikan sendiri, bagaimana jika mulanya rancak kemudia menjadi perlahan dan merangkak, akhirnya akan berakhir dengan lesap. Buktikan sendiri.

Warisan hikmat ini juga untuk menilai prestasi diri sendiri. Jika sebelum ini, pencapaian mencecah 100, kemudian merosot dan akhirnya merosot dengan mendadak, misalnya hanya tinggal 1 atau 2, maka bersedialah untuk mati melainkan bertindak sebaliknya, menaikkan semula apa yang jatuh, meningkatkan semula menjadi 50,80 hingga menjadi 100 semula.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment