Friday, November 22, 2013

Kalau gunung tak datang kepada Muhammad; Muhammad akan pergi ke gunung

Hikmat 65

Mutiara hikmat ini sangat popular dan telah memberikan semangat dan inspirasi kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Menunggu sesuatu yang mustahil adalah kerja orang yang bodoh. Menunggu sesuatu yang besar, kejayaan, kekayaan datang kepada kita adalah kerja bodoh – sama seperti gunung datang kepada kita.

Adalah dipercayai, mutiara hikmat ini berasal dari orang Islam dan ditujukan kepada orang Islam kerana sebahagian besar umat Islam salah faham dengan takdir, qada dan qadar. Jika ditakdirkan gunung boleh datang ke Muhammad, maka Muhammad tak perlu bersusah payah ke gunung. Tetapi pernahkah, bolehkah, logikkah ia? Yang paling logik ialah Muhammad melangkah kaki menuju ke gunung. Jika gunung datang ke Muhammad, sia-sia sajalah Allah mencipta manusia yang serba hebat, serba kuat. Akan menjadi pemalaslah manusia.

Rezeki, kejayaan, kekayaan memang terlalu banyak di sekeliling kita ini. Terlalu banyak dan mustahil boleh habis. Kita melangkahkan kaki mencari dan mengusahakan kejayaan dan kekayaan tersebut, bukan kejayaan, kekayaan, rezeki tersebut berusaha bersusah payah mendatangi kita. Bukan terbalik begitu.

Memang ada, tiba-tiba sahaja mendapat rezeki yang bertimbun, misalnya tanah yang tidak berharga di depan rumah diambil oleh swasta untuk dibuat lebuhraya. Memang boleh menjadi kaya serta merta. Akan tetapi, apa yang selalunya terjadi adalah kontras – serta merta pula habis kerana terjadi kejutan budaya. Itu bila gunung mendekati Muhammad. Bila Muhammad mendekati gunung, sukar perolehan itu hendak habis kerana ia dihargai memadangkan betapa susahnya untuk mendapatkannya.

Seperkara lagi, bila gunung mendekati Muhammad, tidak akan terasa nikmat perolehan itu kerana ia datang dengan mudah. Nikmatnya sangat berbeza bila Muhamad yang mendekati gunung.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment