Monday, November 18, 2013

Menghargai petua mudah

Tabiat 17

Amalan dan petua orang dahulu mempunyai erti yang sangat simbolik. Umpamanya petua dalam perubatan tradisional tumbuhan herba bagi mengubati sesuatu penyakit atau meredakan simpton. Begitu juga dengan amalan adab dalam masyarakat Melayu, misalnya peranan dapur; di mana anak-anak diminta menghabiskan makanan atau minuman dari bekas ibu atau bapa. Tidak perlu dibuat selalu, cukup dua kali seminggu agar hati anak-anak sentiasa melekat pada kedua ibu bapa. Semakin umur meningkat tua, hati anak-anak akan sentiasa kasih dan belas kepada orang tuanya. Begitu juga dengan solat berjemaah yang berfungsi menanam rasa hormat sesama ahli keluarga.

Suatu hari seorang guru bertanya kepada murid-muridnya, mengapa ketika seseorang sedang marah, dia akan bercakap dengan suara yang kuat atau berteriak demikian sebaliknya.Setiap murid memberikan jawapan, namun tiada satu pun menepati. Lalu guru itu menyatakan; Ketika dalam keadaan marak, jarak hati-hati meraka sangat jauh meskipun fizikal mereka begitu hampir. Teriakan perlu agar didengari. Semakin marah, jaraknya semakin jauh dan teriakan pun perlu semakin kuat. Sebaliknya jika saling mencintai, bisikan halus, kecil dan mesra sudah memadai. Hinggakan tak perlu luahan kata, cukup dengan pandangan mata, kerana segalanya telah difahami.

Guru itu mengakhiri pesanannya, ketika sedang marah, janganlah kamu mencipta jarak hati. Lebih-lebih lagi jangan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan kerana ia melebarkan jarak hati kamu. Mungkin pada masa itu yang terbaik ialah berdiam diri, duduk atau berbaring kerana waktu akan membantu kamu.

Kejayaan lebih mudah dan cepat dengan berpandukan petua. Mempercayai satu petua dengan keyakinan yang utuh adalah lebih baik daripada adanya sepuluh petua tetapi tidak mempercayainya langsung. Mencari kejayaan yang disandarkan pada petua membolehkan anda berkongsi kegembiraan dengan orang lain.

Wallahu alam.

19 Tabiat Kuasa Perubahan
Zahir Zainudin & Amaludin Ab Rahman, 2008

No comments:

Post a Comment