Hikmat 88
Hargai apa yang ada di tangan, yang berdekatan berbanding dengan yang belum
pasti atau masih terlalu jauh. Biasanya
apa yang berlaku sebaliknya – dipandang apa yang di tangan itu sikit sahaja,
yang jauh, belm pasti lagi sebagai banyak, sehingga mengabaikan apa yang di
tangan. Akhirnya, hilanglah semuanya. Yang di tangan terabai, yang di luar
kekal sebagai bayang-bayang.
Hargailah apa yang di tangan walaupun ia kecil. Tidak ada siapa yang
melarang anda mengejar di luar sana tetapi jangan sekali-kali mengabaikan apa
yang di depan mata, apa yang telah dimiliki. Sambil mencari apa yang di luar sana, sambil
menjaga apa yang di tangan. Jangan sekali-kali tamak, semua hendak di bolot.
Kalau merasakan apa yang di tangan sudah mencukupi, tak perlulah mengejar apa
yang menjadi milik orang lain di luar sana.
Jangan sampai terpedaya. Memang selalu terdengar sesuatu yang menghairankan
di luar sana. Kerana terpedaya mula memandang apa yang di depan mata, yang
telah digenggam, yang diusahakan selama ini sebagai kecil sahaja. Kemahuan
untuk mengusahakan semakin luntur sebab mula membanding-bandingkan apa yang di
tangan dengan fantasi di luar sana.
Biasa melihat suasana seumpamanya? Sangat biasa dan sentiasa terjadi di
depan mata. Apa yang terjadi selepas itu? Selepas itu yang sedang diusahakan
ditinggalkan, mengejar yang banyak di atas langit sana. Dua-duanya melepas.
Kerana itulah selalunya anda melihat bagaimana orang yang telah hampir sangat
berjaya terus menjunam menuju kegagalan. Mengapa? Kerana terpedaya dan menjadi
ghairah. Kerana tidak sentiasa waspada dan berhati-hati bahawa di luar sana
sentiasa ada pengoda.
Jangan berasa iri hati bila mendengar kawan-kawan anda mendapat lebih dari
anda. Biarlah, itu rezeki mereka. Usahakan sahaja apa yang sedang diusahakan,
kerana jika diturutkan rasa iri hati itu, boleh menyebabkan anda meninggalkan
apa yang sedanh diusahakan.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment