Hikmat 63
Mutiara hikmat ini membawa maksud mudah – harta jika sentiasa dikorek walau
sedikit-sedikit akhirnya akan habis juga. Kalau hanya sentiasa keluar, tanpa
masuk, harta yang bertimbun akhirnya akan habis. Walau berdikit-dikit
mengoreknya, tetap ia akan habis suatu hari nanti jika alirannya tidak betul –
hanya keluar sahaja.
Harta tetap akan habis jika tidak terus ditambah. Begitulah lumrahnya,
lebih-lebih lagi dalam keadaan hari ini di mana keperluan sentiasa bertambah
bahkan selalunya melebihi pendapatan. Cara mengatasinya adalah dengan mengorek
harta yang mana akhirnya pasti akan ranap walau harta itu setinggi bukit dan
dikorek dengan sudu setiap hari. Jadi apakah ikhtiar anda? Hanya satu sahaja –
korek hanya jika perlu sahaja dan jangan dilakukan setiap hari. Sebelum
mengambil harta tersebut, fikirkan cara untuk menambahkannya. Pastikan ada
aliran wang masuk untuk menambah harta tersebut.
Selalunya, oleh sebab banyak, orang tak sedar ia akan habis. Kerana percaya
masih ada banyak lagi dan tak mungkin akan habis, kegiatan mengorek tersebut
berterusan, dilakukan dengan seronoknya, hinggalah pada suatu hari tersedar,
harta yang selama ini terhimpun sudah susut begitu banyak, dan akan habis pada
bila-bila masa. Penyelesaiannya? Jangan mulakan. Bila anda hendak mula
mengorek, walau hanya sedikit, pastikan ada aliran masuk menambah harta
tersebut. Setiap yang keluar mesti ada masuk. Jika sepanjang masa hanya keluar,
walau sedikit, harta anda akan ranap.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment