Hikmat 35
Nelayan yang hebat, berani, cekal terhasil dari laut yang bergelora,
bergelombang. Nelayan yang pasif terhasil dari suasana laut yang tenang.
Suasana di sekeliling kita ini ibarat lautan, ada kalanya tenang dan ada
kalanya bergelora. Tetapi selalunya, pada kebanyakan masa lebih banyak berlaku
gelora.
Setiap sesuatu terjadi adalah bersebab dan membawa hikmah. Keadaan yang
tenang di sekeliling anda ada hikmah tersendiri. Keadaan yang bergelar
bergelora di sekeliling anda juga ada kebaikan dan hikmah sendiri. Bila keadaan
tidak seperti yang kita harapkan, ia akan menjadikan kita lebih bijak, kuat,
cekal, bila keadaan yang bergelora itu dihadapi dengan penuh keberanian dan
kekuatan. Cuma masalahnya, lebih ramai yang melarikan diri dari keadaan seumpamanya
berbanding yang menghadapinya.
Sama ada anda menyukai atau tidak, keadaan tidak akan tenang sepanjang
masa. Anda bahkan tidak ada pilihan lain selain menghadapinya dengan penuh
kekuatan, keyakinan dan keberanian, barulah ia akan menjadi hikmah. Barulah
anda menjadi semakin kuat, berani, penyabar dan berbagai-bagai lagi sikap
positif hasil didikan secara tak langsung dari suasana yang bergelora. Bukankah
itu hikmah yang amat besar dan sangat berharga? Semakin kerap anda menghadapi
dan menyelesaikan suasana gelora, semakin besarlah hikmah yang akan anda
perolehi. Makin kerap anda melarikan diri dari suasana gelora, makin besarlah
pengecut di dalam diri. Mana satu pilihan anda?
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment