Thursday, November 21, 2013

Hidup ibarat bayang-bayang, harapan makin panjang bila hari makin petang

Hikmat 58

Pacakkan kayu dan lihat bayang-bayangnya dari pagi hinggalah ke petang. Pagi, tengah hari, ibaratkan sahaja ketika usia muda. Selepas pukul 2 petang, lihat sendiri bagaimana bayang-bayang tersebut beransur-ansur memanjang melebihi objek kayu tersebut. Ibaratkan bayang-bayang itu sebagai kemahuan, keinginan, impian.

Semasa masih muda, ada saja alasan untuk tidak melaksanakan kemahuan, keinginan dan impian tersebut kerana percaya masa masih panjang lagi, masih muda, belum pun melewati usia peralihan dari muda kepada tua. Pada masa muda itulah kemahuan, impian, keinginan hanya kecil sahaja, sebab itu tidak diberi perhatian. Banyak perkara lain yang dilakukan di masa muda tidak ada kena mengena dengan impian, kemahuan, keinginan. Mungkin kerana tiada bimbingan atau mungkin kerana angan-angan melebihi usaha. Mungkin  juga masa banyak dibazirkan untuk perkara-perkara yang hanya merosakkan diri.

Bila usia masuk ke peringkat peralihan (pukul 2 petang) masih lagi tidak terasa apa-apa. Tetapi bila telah memasuki usia tua (bermula dari pukul 4 petang) barulah mula terasa bagaimana masa lebih berharga dari nyawa. Masa tinggal sedikit tetapi impian, harapan, keinginan makin membesar dan terasa seakan mustahil untuk memenuhinya dengan jumlah masa yang begitu sedikit tertinggal.

Impian, harapan, keinginan yang besar itu tidak dapat dilaksanakan kerana masa yang tertinggal sedikit digunakan untuk menangani beban dan keperluan hidup yang makin meningkat sejak menjejaki usia tua. Tenaga berkurang, perolehan mebdatar atau berkurang tetapi beban dan keperluan meningkat. Itulah hakikatnya yang terpaksa dihadapi di hari tua.

Bagaimana nak mengatasinya? Hanya satu cara iaitu manfaatkan sepenuhnya usia muda yang penuh bertenaga dan tangkas. Usia muda (ketika bayang-bayang lebih pendek dari objek) adalah usia untuk meneroka impian, harapan, kemahuan, cita-cita bukan dihabiskan untuk berangan-angan dan beralasan.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

No comments:

Post a Comment