Hikmat 62
Untuk menilai sama ada seseorang itu sahabat atau kawan, lihat pada sikap
dan tingkah lakunya. Bukan sahabat sejati hanya memuji dan mengampu dengan
bermaksud. Sahabat sebenar jarang memuji. Kalau memuji pun adalah untuk memberi
galakan. Sahabat sebenar kalau mengkritik disertakan dengan penyelesaian. Bukan
sahabat sejati (sekadar kawan) tidak pernah mengkritik. Kalau mengkritik pun
tidak disertakan dengan penyelesaian – hanya sekadar mengkritik.
Sahabat sebenar, sejati adalah sahabat yang akan menegur anda bila anda
melakukan kesilapan. Tegurannya bukan saja-saja tetapi kerana sayangkan anda.
Hanya sahabat sebenar akan menegur bila anda melakukan kesilapan. Kawan, bukan
sahabat sebenar tidak akan menegur bila anda melakukan kesilapan. Itulah
bezanya sahabat sebenar dengan kawan. Kawan boleh hilang bila anda ditimpa
kesusahan. Sahabat akan kekal bersama anda semasa anda susah atau senang.
Berhati-hatilah, jangan tersilap memilih sahabat.
Sahabat adalah seorang yang tahu segala-galanya tentang diri anda, yang
baik dan buruk tetapi masih lagi bersama anda. Kawan pula tidak akan bersama
anda lagi jika mengetahui yang buruk tentang diri anda. Kawan hanya suka yang
baik sahaja mengenai anda. Kalau pun masih bersama anda, ia mungkin hanya
hipokrit.
Anda memerlukan sahabat yang sejati dan setia. Sesungguhnya mencari kawan
lebih mudah dari mendapat sahabat. Seratus orang kawan tidak akan menyamai
seorang sahabat.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment