Thursday, November 28, 2013

Perhatikan sahabat dengan dekat, musuh lebih dekat lagi


Hikmat 90

Warisan hikmat ini disuarakan oleh Sun-Tzu pakar strategi peperangan kira-kira 5000 tahun dahulu. Perhatikan sahabat dengan dekat – jaga hati sahabat, pelihara sahabat sebagaimana memelihara diri sendiri kerana sahabat yang baik tidak ternilai. Apa guna mempunyai saudara yang jauh berbanding sahabat yang dekat. Hidup dikelilingi sahabat yang setia adalah nikmat kehidupan sebenar. Hidup tanpa sahabat yang setia ibarat pokok tunggal di tengah padang.

Nilai sahabat memang tak terhingga. Ia adalah harta yang tak ternilai. Jagalah sahabat. Sebab jika tidak dijaga, sama seperti juga harta yang lain, ia boleh hilang begitu saja. Dan sama seperti harta yang lain, hargailah semasa ada kerana nanti, kita tak mampu lagi menyesal bila menghargainya setelah ia tiada.

Jangan pula memandang rendah pada musuh anda. Memang bukan prinsip anda memusuhi orang lain tetapi bagaimana jika ada yang memusuhi anda sama ada dari dalam atau dari luar? Ikutilah nasihat Sun-Tzu – perhatikan sahabat dengan dekat dalam masa yang sama diperhatikan musuh lebih dekat lagi. Jika tidak diperhatikan degan lebih dekat lagi, tentu sukar untuk mengenal musuh yang berselindung di sebalik nama kawan. Orang yang memusuhi memang ada di mana-mana – di dalam dan di luar. Bukan maknanya anda tidak mempercayai sahabat-sahabat anda, memerhati mereka, kalau-kalau mereka adalah musuh dalam selimut. Anda kekal mempercayai mereka tetapi dalammasa yang sama anda memperhatikan mereka. Jangan pula nanti, bila sudah terjadi baru menyesal.

Jangan lupa pula untuk memerhatikan musuh dari luar dengan lebih dekat lagi. Tindakan dari mereka sememangnya tidak terduga. Jika anda lalai, tidak memerhatikan mereka dengan lebih dekat, atau sekadar memerhatikan secara sambil lewa, tindakan jahat dari mereka walau hanya sekali mampu untuk memusnahkan anda. Sebelum itu terjadi, bukankah lebih baik anda memerhatikan orang yang memusuhi anda dua kali lebih dekat dari memerhatikan sahabat anda?

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

 

No comments:

Post a Comment