Hikmat 79
Paling pahit, paling tidak disukai, paling kurang, itulah kesabaran.
Walaupun semuanya paling tidak dikehendaki, ia mesti dilakukan. Mesti, tanpa
sebarang alasan. Mesti dilakukan kerana hasilnya sangat manis. Alangkah ruginya
jika tidak sabar kerana tidak mendapat sesuatu yang manis, nikmat luar biasa
hasil dari kesabaran.
Apa makna ringkas sabar? Makna yang paling ringkas ialah menahan. Bila
marah – menahan marah, itulah maknanya sabar.Bila ditimpa kesusahan, menahan
kesakitan dan kesusahan, itulah sabar. Namun menahan sahaja tidak mencukupi. Ia
mesti disertai usaha bersungguh-sungguh, mati-matian menguasai dan
mengatasinya. Sebagai contohnya, bila sedang marah, menahan marah tersebut
tidak memadai, sebaliknya hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuang
marah tersebut seperti berganjak ke tempat lain, mandi, berwuduk, mengalihkan
pemikiran kepada sesuatu yang menggembirakan, menarik nafas dalam-dalam
melepaskannya perlahan-lahan beberapa kali dan lain-lain. Di samping menahan
adalah berusaha, barulah dapat merasai kemanisan bersabar itu.
Contoh lain; bila tengah dilanda kesusahan, tidak memadai setakat menahan
kesakitan dalam kesusahan. Setakat
berdiam diri menahan kesakitan memang tidak akan mendapat kemanisan. Caranya sebenar
ialah di samping menahan kesakitan adalah usaha yang bersungguh-sungguh,
bermati-mati untuk mengatasi kesusahan itu. Setakat menahan dan berdiam, tak
akan memperolehi kemanisan bersabar.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment