Hikmat 99
Mengapa tunggu esok, sedangkan
boleh dilakukan hari ini? Apa yang menyebabkan bertanguh dan menunggu hari esok
untuk melaksanakannya sedangkan boleh dilaksanakan hari ini?
Warisan hikmat dari saidina Ali
ini amat berkesan sepanjang zaman. Bila terasa hendak bertangguh, ulangi
kata-kata hebat dari sahabat dan menantu rasulullah saw ini. Dengan serta merta
anda tersedar dan terus melakukan apa yang semestinya dilakukan hari ini tanpa
menunggu hari esok. Kalau keperluan asas seperti makan, minum, tidur mengapa
tidak ditangguhkan sampai esok? Mengapa kalau usaha yang boleh meningkatkan
kualiti hidup perlu ditangguhkan dan menunggu esok baru dilakukan? Adakah ia
tak sepenting makan, minum, tidur dan seumpamanya? Inilah kesilapannya – semua
perkara yang boleh membawa kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat adalah
penting, sama penting dengan keperluan asas.
Tahukah apa yang akan terjadi
pada hari esok? Tahukah nyawa kita ini masih ada lagi pada hari esok? Jadi,
mengapa tidak memanfaatkan masa yang masih ada pada hari ini untuk melakukan apa
yang semestinya dilakukan hari ini. Jika ditangguhkan menjadi esok, bagaimana
dengan tugas esok pula? Ditangguhkan juga kepada lusa? Kerja lusa? Kerja minggu
depan, bulan depan, tahun depan? Akhirnya sepanjang hayat bertangguh.
Tentu ada sebab mengapa perlu bertanguh.
Sama ada ia sebab atau alasan ia mesti diatasi agar tidak melakukan esok apa
yang boleh dilakukan hari ini. Tapi pada kebanyakkan masa dan manusia, ia
adalah alasan semata-mata. Satu alasan akan menarik alasan lain. Sekali bertangguh
akan seronok terus bertanguh.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment