Hikmat 46
Sepanjang hari, beribu-ribu,
bahkan berjuta-juta cakap kosong beredar dari mulut ke mulut di mana-mana
sahaja. Sayangnya tindakan tidak sampai pun menjejak angka ratus. Mengapa
begitu? Kerana cakap adalah percuma: lidah tak bertulang, sedangkan tindakan
bukan percuma.
Jangan lupa, perhatikan juga
kepada orang yang suka bercakap, beribu-ribu cakap, tindakannya adalah kosong.
Nisbah yang sama sekali tak seimbang. Kalau cakap 1000 tetapi tindakannya 500 masih boleh diterima, tetapi kalau 1000
nisbah 0, akhirnya sepanjang hayat memang hanya suka bercakap-cakap sahaja.
Cakap-cakap tidak membawa apa-apa
kebaikan melainkan keburukan yang sentiasa berlanjutan. Keburukan utama ialah
ketakutan untuk bertindak. Benar, orang yang beribu-ribu cakapnya sentiasa
takut hendak bertindak kerana bimbang tidak seperti apa yang dicakap. Kerana
itu, sebagaimana yang anda lihat, orang yang hebat cakapnya, kosong
tindakannya. Itulah hakikatnya.
Sebaik-baik manusia adalah kosong
cakapnya, 1000 tindakannya. Tapi ini adalah seakan mustahil. Bagaimana kalau
masih tak boleh mengurangkan cakap-cakap? Jadikan ia seimbang. Sekurang-kurangnya
setiap 1000 cakap, mestilah 500 tindakan. Yang terbaik ialah, 1000 tindakan 1
cakap-cakap. Walaupun sukar menemuinya, bahkan hampir kepada tidak ada, tetapi
itulah yang sebaik-baiknya.
OLeh sebab cakap-cakap lebih
banyak merosak dari membina, sebaik-baiknya tak payahlah cakap-cakap kalau nak
buat sesuatu. Buat terus tanpa cakap-cakap adalah cara orang yang bijak. Jangan
diri sendiri yang merosakkan diri sendiri – melalui cakap-cakap tanpa tauladan.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment