Hikmat 66
Bila hendak berguru, menuntut ilmu biarlah hingga selesai, hingga khatam,
jangan separuh-separuh atau
sedikit-sedikit kemudian melompat belajar ilmu lain, lompat lagi, atau
berhenti. Akibatnya? Akan menjadi seperti bunga kembang tak jadi. Tak jadi
berkembang, hanya kembang sekerat sahaja sudah layu atau layu sebelum
berkembang.
Begitulah, jika berguru, menuntut ilmu, belajar tidak selesai akan hanya
merosakkan diri sendiri. Jadi, sebelum mempelajari sesuatu, tanyalah kesanggupan
diri, sanggupkah saya belajar hingga selesai? Jika masih belum sanggup, jangan
mulakan langkah untuk belajar kerana bimbang nanti akan hanya sekerat jalan
sahaja yang mana akhirnya akan merosakkan diri sendiri.
Mengapa ia merosakkan diri sendiri? Sebab ia alang kepalang. Sekerat pandai dan sekerat bodoh. Ramai
orang kata, kalau nak pandai, biar pandai terus, kalau nak bodoh, biar bodoh
terus. Bodoh terus bukan pilihan, jadi pilihannya ialah alang kepalang nak
pandai, biarlah pandai terus.
Walaupun menuntut ilmu itu banyak sangat halangan dan cabarannya, namun ia
mesti diselesaikan, hingga khatam sebab jika tidak selesai usaha anda menuntut
ilmu selama ini bukan membawa kebaikan sebaliknya membawa keburukan yang
banyak.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment