Hikmat 94
Lebih ramai yang terbunuh kerana kata-kata dan tulisan berbanding terbunuh
oleh pedang. Itulah sebahagian maksud lidah lebih tajam dari mata pedang.
Ketajaman lidah boleh membunuh berkali-kali berbanding pedang yang boleh
menyebabkan kematian sekali saja. Sekali cantas mati serta merta. Sekali
menggunakan lidah untuk membunuh yang kena bunuh akan mati berkali-kali, bukan
hanya sekali.
Bukan itu saja. Bahkan yang membunuh menggunakan lidah dan tulisan akan
turut mati berkali-kali seiring dengan kena bunuh. Jadi, setiap kali hendak
menggunakan lidah untuk membunuh – ingatlah bukan seorang sahaja yang akan
terbunuh bahkan ramai yang akan turut mati termasuklah diri yang mengeluarkan
kata-kata tersebut. Pelik? Tidak pelik jika anda tahu sebabnya. Bila
mengeluarkan kata-kata yang membunuh, ia ibarat membunuh diri sendiri, sama ada
lambat atau cepat.
Selalunya begitulah, yang difitnah, dihina (menggunakan kata-kata yang
membunuh) makin makmur tetapi yang memfitnah akan mati terlebih dahulu. Mati kerana sentiasa resah gelisah
memikirkan kesan dari tindakannya; mati kerana dikejar rasa bersalah. Lidah
lebih tajam dari mata pedang, sebab itu jika tidak berhati-hari, ia boleh
menikam diri sendiri. Terlalu banyak bukti bagaimana senjata milik sendiri
akhirnya menikam diri sendiri. Mahukah anda membunuh diri dengan menggunakan
senjata milik sendiri? Tentu tidak mahu. Kalau tidak mahu, jangan sekali-kali
mengeluarkan kata-kata dan tulisan berbentuk fitnah.
Kesannya bukan saja dirasai di muka bumi ini semasa masih hidup. Bahkan
sesudah mayat diusung ke kubur, fitnah akan terus subur berjalan dari mulut ke
mulut. Ia tak ubah seperti benih kecil yang dicampak secara tak sengaja
bertahun-tahun dulu, akhirnya tanpa disedari akhirnya ia menjadi pokok besar
yang berbuah keji. Alangkah beruntungnya jika buah itu adalah buah kebaikan,
masih kekal dinikmati walau telah berada di dalam kubur.
Fitnah lebih berbahaya dari membunuh. Bahayanya bukan yang difitnah tetapi
pada yang menfitnah. Saksikan sendiri di sekeliling anda.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
Saya setuju. Kena fikir beberapa kali sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyingung hati dan perasaan orang lain.
ReplyDelete