PERTEMUAN dan perpisahan menjadi
adat dalam kehidupan manusia. Ada
yang terpisah kerana merajuk dengan keluarga dan ada juga yang sengaja ingin
hidup berdikari.Yang pasti jika ditakdirkan akan bertemu semula, maka
terjadilah saat itu, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun. Itulah pengalaman
yang dilalui oleh Faridah (bukan nama sebenar) dan anaknya Shahira (bukan nama
sebenar). Ingin tahu cerita lanjut, kita ikuti kisah ini yang diceritakan
sendiri oleh Faridah untuk dikongsi dengan pembaca.
Saya seorang penjawat awam
mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan
saya sudah bekerja sementara yang lelaki masih belajar. Suami seorang ahli
perniagaan.Sebagai ibu, saya hanya memberi nasihat kepadanya agar dia selalu
mensyukuri anugerah yang Allah berikan kepadanya dan menjaga tingkah laku serta
pergaulan.Sebab setiap manusia hanya memandang kecantikan luaran tetapi tidak
kecantikan dalaman, hati dan jiwa, budi bahasa, sopan santun dan akhlak yang
molek, itu yang selalu saya pesan kepadanya.
Dalam setiap perkara anak-anak
perlu diawasi biarpun mereka sudah dewasa. Begitu juga dengan saya yang
sentiasa memerhati gerak-geri Shahira sehingga dia merasa kurang selesa kerana
katanya saya terlalu cerewet. Saya bersara awal kerana mahu menumpukan
perhatian terhadap keluarga dan saya faham benar kekalutan yang sering tercetus
dalam kalangan mereka jika berjauhan dari pandangan orang tua. Itu juga yang
terjadi kepada Shahira. Saya mula perasan dia ada menyimpan rahsia daripada
saya. Tentunya yang saya syak tentang teman lelaki.
Telefon bimbit sentiasa berada di
tangan, itu yang saya nampak setiap kali dia berada di rumah.Naluri keibuan
saya selalunya tepat. Bila ditanya dia hanya tersenyum sahaja. Ditanya katanya
nantilah dulu ibu. Sampai masa, Ira akan ceritakan.Dalam diam, saya intip
gerak-gerinya melalui seorang kenalan yang kebetulan bertugas setempat dengan
anak saya.Benar firasat saya, Shahira menjalin hubungan dengan Hisham (bukan
nama sebenar ), suami orang yang telah mempunyai empat orang anak yang telah
dewasa.
Terkejut saya bukan kepalang.
Risau menjadi mainan hidup saya selepas itu. Apa yang perlu saya buat? Lalu
saya meminta bantuan kenalan saya itu untuk mengintip gerak geri mereka dan
memberi makluman kepada saya.Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menghubungi
Hisham dan meminta untuk berjumpa dengannya. Saya ajak suami bersama untuk
menemui lelaki itu dengan harapan anak kami masih boleh diselamatkan.
Saya juga pelik kenapa perlu
Shahira berkawan dengan Hisham, sedangkan masih ramai lelaki bujang yang ada
untuk dimiliki tetapi saya tidak bertanya Shahira akan perkara itu kerana tidak
mahu urusan saya menyiasat terganggu. Saya menghubungi Hisham dan meminta untuk
berjumpa. Dia setuju tanpa banyak alasan. Saya akan bersemuka demi kebaikan
anak saya, akan tetapi jika jodoh mereka kuat, saya reda walaupun saya akan
malu dengan jiran-jiran dan sanak saudara. Tak tahu mana nak letak muka jika
jodoh mereka menjadi kenyataan.
Pada hari yang dijanjikan, saya
dan suami bertemu Hisham di sebuah restoran yang agak terkenal dan eksklusif di
pinggir bandar bersama suami.Alangkah terkejutnya saya apabila melihat lelaki yang
dikhabarkan bercinta dengan anak gadis saya itu adalah teman saya semasa di
universiti dulu. Bukan saya sahaja yang terkejut, Hisham juga separuh pengsan
apabila mendapat tahu Shahira adalah anak saya.
Maafkan aku, Idah, aku tak tahu Shahira itu anak kamu. Maafkan aku. Ya
Allah, kecilnya dunia ini, berulang kali Hisham memohon maaf kepada saya
dan suami. Saya tidak berkata apa-apa kerana saya faham akan keadaan yang
dilalui oleh Hisham, begitu juga dengan suami. Malah saya merasa malu yang amat
sangat dengan Hisham.Pertemuan itu merungkai segala masalah antara kami. Hisham
berulang kali meminta maaf kerana tidak menyangka Shahira adalah anak saya.
Katanya lagi, dia sebenarnya
tidak ada apa-apa perasaan terhadap Shahira selain daripada layanan seorang ketua
kepada stafnya, itu sahaja. Katanya lagi, ini semua kerana Shahira telah
tersalah tafsir tentang hubungan mereka disebabkan rakan-rakan pejabatnya ramai
yang menyokong jika dia bertemu jodoh dengan Shahira. Saya juga meminta maaf
kepada Hisham dengan apa yang berlaku, begitu juga dengan suami. Kami
benar-benar malu dan ralat dengan kejadian yang tidak disangka ini.
Sebelum berpisah, saya dan suami
mempelawa Hisham dan keluarganya ke rumah untuk mengeratkan hubungan kami dan
menyelesaikan masalah dengan Shahira. Seminggu kemudian Shahira memberitahu
saya yang ada orang hendak datang ke rumah kami. Saya tanya siapa, dia tidak
menjawab tetapi melemparkan senyuman yang mana saya sangat-sangat faham siapa
tetamu itu.Seperti yang dijanjikan tetamu tiba seperti masa yang dimaklumkan.
Kami sekeluarga menyambut mereka dengan mesra.
Setelah bersalaman, secara
spontan Hisham memberitahu Shahira, saya adalah kenalannya semasa kami menuntut
di universiti. Penjelasan tersebut menjadikan anak saya terkedu. Serta-merta
wajahnya berubah. Sebenarnya saya kenal
ibu awak Shahira dan saya gembira bila mendapat tahu awak adalah anak rakan
baik saya. Saya dan ibu awak amat rapat semasa di universiti, malah kami juga
belajar dalam satu kumpulan sehingga lulus, cerita Hisham.
Kata-kata dan penjelasan Hisham
menyebabkan Shahira terdiam dan berubah wajah. Dia nampak tidak gembira. Saya
faham perasaannya saat itu, tetapi saya buat tak peduli kerana tidak mahu
tetamu lain perasan.Saya dan Hisham telah berjanji tidak akan memberitahu
sesiapa perkara ini termasuk isterinya.
Ketika sedang makan-makan, saya
nampak Shahira murung dan tidak banyak bercakap. Mungkin terkilan dengan
kejutan yang dibuat oleh Hisham. Tetapi saya yakin, ia tidak lama.Ketika hendak
meninggalkan rumah saya, kami bersalaman dengan mesra dan berharap dapat
bertemu lagi dan kekal menjadi keluarga untuk selamanya. Setengah jam kemudian,
Shahira menunjukkan kepada saya pesanan ringkas yang diterima melalui telefon
bimbitnya dari Hisham mengandungi kata-kata, sebenarnya saya sayang awak seperti anak saya sendiri dan saya tidak
ada apa-apa maksud lain yang dihebohkan oleh rakan-rakan di pejabat.
Saya melihat Shahira menangis.
Air matanya menitis membasahi kedua-dua pipinya. Saya memeluk Shahira dan
berkata, Pertemuan ada ketikanya
membahagiakan dan ada kalanya meninggalkan kesan yang meruntun perasaan.
Sebagai ibu tentu saya bersyukur kerana kasihnya tidak kesampaian, lagipun saya
faham Hisham tidak bermaksud apa-apa dengan persahabatannya dengan anak saya.
Saya mendoakan agar Shahira akan bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih baik
untuknya. Saya beritahu dia, usianya masih muda dan dia masih ada peluang untuk
mencari lelaki lain yang lebih sesuai dan sebaya dengannya.
Malam itu, ketika saya melintas
bilik Shahira, saya dapat mendengar tangisan anak gadis saya sedang berdoa
setelah selesai solatnya. Esoknya, Shahira saya lihat sudah kembali ceria.
Ketika hendak keluar ke tempat kerja dia berkata kepada saya, Ira minta maaf kerana tersalah tafsir
tentang perasaan kawan ibu itu. Sebenarnya Ira yang tidak fikir panjang dan
cepat terpengaruh dengan gosip kawan-kawan di tempat kerja. Sekarang Ira sudah
faham dan berjanji tidak akan mengulangi lagi sikap Ira itu, katanya tenang
membuatkan hati saya sebagai ibu amat bahagia sekali. Syukur Alhamdulillah.
Sebagai ibu, saya mendoakan yang
terbaik untuk anak gadis saya, juga masa depan yang bahagia buat Hisham dan
keluarganya. Mudah-mudahan pertemuan kami bukan yang terakhir tetapi permulaan
bagi sebuah persaudaraan yang akan kekal tersimpul mati," pinta Faridah
ikhlas menamatkan ceritanya.
Itulah hati seorang ibu, sanggup
buat apa sahaja untuk anaknya. Moga apa yang dilalui Faridah dan anaknya tidak
berlaku kepada orang lain. Ujian Allah datang berbeza-beza dalam keadaan yang
juga berlainan antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Saya kagum
dengan sikap positif yang ditunjukkan Faridah dan suaminya dalam mencari
penyelesaian terhadap masalah anak gadis mereka, tidak seperti sesetengah ibu
bapa yang hanya mengikut telunjuk anak walaupun tahu hubungan yang terjalin
akan membawa masalah di kemudian hari.
Menutup catatan, sepatah pesanan
saya, hidup ini ada kalanya sangat pahit dan kelat
tetapi manisnya akan terasa bila sampai waktu bahagia yang dijanjikan untuk
kita.
Salam.
Wallahu alam.
Utusan Malaysia
16 Nov 2013
No comments:
Post a Comment