Hikmat 72
Warisan hikmat ini memberitahu anda akan kepentingan komitmen. Dari anda
sendiri, tangan anda sendiri yang mengusahakan. Jangan pertaruhkan masa depan
anda dengan mengharapkan tangan orang lain untuk mengusahakannya. Walaupun
misalnya anda mengamanahkan kepada orang lain (dengan gaji tertentu), namun
tetap memerlukan sentuhan tangan atau komitmen anda. Tak boleh sama sekali anda menyerahkan 100 peratus
kepada orang lain. Ia adalah
masa depan anda yang sama penting dengan nyawa anda, mengapa tidak mahu
mengambil berat.
Komitmen bukan setakat mengambil berat – ia lebih besar lagi. Komitmen
ialah mengikat diri kepada apa yang diusahakan. Dan ingatlah, komitmen dari
anda sendiri adalah komitmen yang terbaik sekali. Kerana itulah dikatakan masa
depan anda hanya boleh diusahakan oleh tangan yang terbaik iaitu tangan
sendiri. Walaupun anda mendapat banyak kerjasama dari orang lain, jangan
sekali-kali lupa tangan (komitmen) anda adalah yang terbaik di antara yang
terbaik. Lepas tangan, lepas ikatan terlepaslah segala-galanya.
Jadi jangan sekali-kali menyerahkan masa depan anda kepada orang lain. Diri
anda adalah yang sebaik-baiknya menangani masa anda sendiri, bukan orang lain.
Bukan anda tidak mempercayai tangan orang lain tetapi jika ada yang terbaik
(tangan anda sendiri) mengapa mencari tangan orang lain.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment