Hikmat 69
Bila sudah menjadi bidang kita, masakan kita akan berdiam diri dan mengharap
apa yang menjadi keutamaan itu datang bergolek. Penyanyi akan mencari lagu, penulis
akan mencari bahan penulisan, usahawan akan mencari rakan-rakan perniagaan baru
dan peluang penjualan. Ia mesti dicari kerana mengharapkan ia datang bergolek
adalah seperti mengharap hujan di musim kemarau.
Perhatikan juga perkataan sentiasa. Berterusan, bukan sekali sekala. Ini pastinya ada kaitan dengan pisau yang
tidak digunakan akan berkarat. Jika tidak sentiasa mencari bahan penulisan
baru, penulis tidak akan menghasilkan bahan baru. Berehat atau berhenti lama
akan menyebabkan pisau berkarat. Kerana itulah dimestikan sentiasa. Apa akan jadi kepada perniagaan kalau
hanya sekali sekala sahaja mencari peluang pemasaran atau penjualan. Perniagaan
akan tutup segera.
Bila ia telah menjadi kerjaya dan darah daging anda, semestinya anda perlu
menjaganya sepanjang hayat. Sekali lagi hukum keluar masuk mesti digunakan.
Kalau sepanjang masa hanya keluar sahaja, tidak ada yang masuk, tak lama
kemudian akan runtuh. Contohnya ialah kedai runcit, jika sepanjang masa hanya
menjual sahaja tanpa membeli, kedai akan menjadi kosong, pelanggan tidak
datang. Keluar dan masuk mestilah seimbang. Bahkan jika sentiasa keluar, mestilah
ada sentiasa masuk. Sentiasa masuk sahaja tak boleh, sentiasa keluar saja pun
tak boleh. Ia mesti seimbang dan hendaklah sentiasa dicari. Jangan harap ia
datang kepada anda, sebaliknya sepanjang masa anda mesti mencarinya.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment