Friday, November 22, 2013

Tali tidak ditolak ke bukit

Hikmat 64

Tali ditarik dari bukit, bukan ditolak ke bukit. Sukar menolak tali ke bukit tetapi lebih mudah menarik tali dari bukit. Jangan buat kerja yang bertentangan dengan hukum alam – akibatnya nanti kita yang mendapat susah. Kalau tali perlu ditarik, hendaklah ditarik, jangan melakukan sebaliknya, menyusahkan diri menolak tali ke bukit.

Orang yang menarik tali, menarik dari bukit diibaratkan pemimpin. Kita semua adalah pemimpin, sama ada pemimpin keluarga, sahabat, perniagaan, pertubuhan dan sebagainya. Pemimpin bijak yang mengambil iktibar dari tolak dan tarik tali akan menarik pengikut bukan menolak (menyuruh) pengikut. Pemimpin yang bijak akan menunjukkan teladan dan menyuruh tanpa mengeluarkan suruhan sebaliknya teladan yang ditunjukkan itu adalah umpama suruhan.

Pengikut tidak suka disuruh, diarah. Pemimpin sebenar adalah pemimpin yang menunjukkan teladan kemudian pengikut akan mengikut dengan rela hati, tanpa disuruh tanpa diarah. Pemimpin menunjuk jalan dan membantu pengikut mengikuti jalan tersebut tanpa sebarang arahan.

Kuncinya di sini ialah faedah. Jika sesuatu itu memberi  faedah kepada pengikut kemudian terbukti ia berfaedah, maka pengikut akan rela hati mengikut pemimpin. Bukankah itu memang sifat semulajadi manusia moden yang sentiasa memikirkan kepentingan diri sendiri. Kalau saya menjadi pengikut, apa yang akan diperolehi? Makin besar faedah yang diperolehi, makin bersemangatlah mereka.

Pengikut mendapat faedah, kerana itulah mereka memegang tali yang ditarik dari bukit.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment