Hikmat 92
Warisan hikmat ini sama dengan peribahasa Melayu, ibarat ketam hendak
mengajar anaknya berjalan lurus. Dan
peribahasa Turki, ikan membusuk bermula dari kepala. Kalau pemimpinnya bengkok,
bolehkah pengikutnya lurus? Mudah saja. Kalau kepala kereta api melencong,
adakah gerabak akan lurus?
Pemimpin memang selalunya di depan, sebab itu imam sembahyang bersda di
depan, bukan belakang. Pemimpin menjadi pemimpin kerana dia lebih tahu. Betul
begitu? Tidak seratus peratus betul. Ada juga pemimpin yang melantik dirinya
sendiri menjadi pemimpin – memimpin secara bengkok tetapi mengharapkan
pengikutnya menjadi lurus.
Mengapa lebih ramai yang menjadi pengikut berbanding pemimpin? Kerana
pemimpin mempunyai tanggungjawab yang sangat berat. Risikonya tinggi walaupun
ganjarannya belum tentu tinggi. Walau apa pun alasan, kita semua adalah
pemimpin. Kita dilahirkan sebagai pemimpin kepada adik-adik, rumah tangga,
keluarga, masyarakat, perniagaan, sahabat-sahabat dan lain-lain lagi. Bolehkah
pengikut menjadi lurus dan tetap jika pemimpinnya bengkang bengkok, tak tentu
arah dan melompat-lompat? Bolehkah pengikutnya menjadi baik jika pemimpinnya
sentiasa menyemaikan benih-benih keji. Apa yang akan tumbuh di kalangan pengikut
jika pemimpinnya sentiasa menaburkan benih kejahatan? Bolehkah benih kejahatan
menghasilkan pokok kebaikan?
Makna lain pula – jika usaha anda tidak tepat, bolehkah mendapat hasil yang
tepat sebagaimana yang dikehendaki? Kita hendakkan 100 tetapi usaha kita
bengkang-bengkok tidak tetap ke arah 100 itu, bolehkah kita mendapat 100 itu.
Perolehan adalah berdasarkan usaha. Usahanya bengkang bengkok bolehkah
menghasilkan perolehan yang lurus?
Kadang kadang kita tidak menyedari perkara ini. Kita berbuat sesuka hati. Ia
semua hanya disedari bila terlihat hasilmya. Bila melihat hasilnya tidak
seperti yang diharapkan barulah kita menyedari bahawa kayu yang bengkok tidak
boleh menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Jadi bagaimana? Mudah sahaja-
perhatikan, perhatikan usaha anda, sentiasa mengingatkan kepada diri,
seandainya usaha saya ini hebat, bolehkah menghasilkan perolehan yang hebat?
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment