Hikmat 74
Cara paling pantas dan terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri ialah
dengan melakukan apa yang ditakuti. Lakukan saja sebelum sempat anda memikirkan ketakutan tersebut. Bila mula memikirkan akan ketakutan yang bakal dihadapi,
kemungkinan besar anda sudah dikuasai oleh takut. Lakukan sahaja denga serta
merta – ketakutan yang anda takuti akan beralih ke tepi berganti dengan
keyakinan yang diperolehi secara serta merta. Tak percaya? Lakukan saja,
barulah anda memperoleh keseronokan
kerana ketakutan ciptaan sendiri hilang berganti dengan keyakinan yang juga
ciptaan sendiri.
Untuk menambahkan lagi keyakinan tersebut, lakukan dengan berulang-ulang.
Semakin kerap anda melakukannya, semakin menebal keyakinan diri.
Mana satu yang sangat anda perlukan? Keyakinan diri ciptaan sendiri atau
ketakutan ciptaan sendiri. Jika
mahu keyakinan serta merta, lakukan saja sebelum sempat anda memikirkan
apa-apa. Jika mahukan ketakutan ciptaan sendiri terus menebal, tunggu dulu,
fikir-fikir dulu, jangan buat serta merta. Dalam masa yang singkat, ketakutan
ciptaan sendiri akan menebal.
Sebagai contoh, anda agak takut duduk di baris paling depan. Bila ada yang
bertanya sebabnya, anda sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan anda takut.
Secara tepat ia adalah takut ciptaan anda sendiri. Jika anda hendak mengatasi
ketakutan tersebut lakukan dengan serta merta, langkahkan kaki anda terus
menuju ke depan, terus duduk di depan tanpa memikirkan apa-apa. Sebaik sahaja anda
duduk di depan, keyakinan anda bertambah dengan mendadak, ketakutan ciptaan
sendiri hilang serta merta.
Sekarang kita lihat sebaliknya; katalah teragak-agak hendak duduk di depan
itu. Sementara teragak-agak, bertangguh, ketakutan ciptaan sendiri menebal,
menyebabkan keyakinan untuk melangkah ke depan makin menurun dikalahkan oleh
ketakutan. Jadi sebaik-baiknya, lakukan saja!
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment