Tuesday, November 12, 2013

Tiada siapa sesat di jalan yang lurus

Hikmat 39

Pernah mendengar orang sesat di jalan lurus? Tentu tidak pernah, kerana jalan yang lurus adalah jalan yang paling mudah. Hakikatnya, untuk mendapat jalan yang lurus adalah sukar kerana kebanyakan jalan di muka bumi ini adalah berliku.

Ada dua makna untuk mutiara hikmat ini. Pertama ialah, bila kita melakukan hanya kebaikan dan suruhan Allah swt (jalan yang lurus) tak mungkin kita akan sesat atau disesatkan. Jalan lurus memang penuh dengan kebaikan dan dijamin selamat, tetapi hakikatnya, ramai yang lebih suka menghindari jalan lurus berbanding yang berada di atasnya. Sebagaimana biasa, sesuatu yang penuh kebaikan memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Hanya orang-orang yang benar-benar berminat sahaja mampu berada di jalan yang lurus. Sebaliknya, jalan yang bengkang-bengkok memang penuh dengan keseronokan dan tarikan, kerana itulah ramai yang memilih jalan bengkok berbanding lurus. Lebih ramai suka dosa berbanding pahala.

Makna kedua, lebih ramai orang yang suka memilih jalan lurus kerana dikenalpasti tidak akan sesat. Atau lebih tepat lagi, orang tak nak mengambil risiko, suka yang mudah sahaja. Memang selamat tetapi tidak ada jaminan akan memperolehi kejayaan. Sebaliknya, jalan yang bengkok, berliku diibaratkan sebagai jalan penuh dengan risiko dan kesusahan. Ini yang selalu dielakkan kerana tidak semua orang sanggup menghadapi risiko. Anda telah tahu akibat enggan mengambil risiko.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment