Terlebih dahulu izinkan saya
melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah swt yang dengan limpah kurniaNya
mentakdirkan saya menerima penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat
kebangsaan 1435. Di samping itu tidak lupa saya merakamkan penghargaan yang
tinggi serta ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia
yang memutuskan Anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun ini diuntukkan kepada saya
sebagai salah seorang daripada penerimanya.
Saya amat terharu atas
penghargaan kerajaan ini, ianya saya anggap suatu penghormatan terhadap diri
saya dan keluarga.
Kepada manusia yang menjadi
subjek utamanya, Al-Quran membawa misi revolative
transformative. Misi revolative
transformative.Al-Quran bermaksud pembebasan manusia daripada segala bentuk
belenggu dan perubahan jiwa minda manusia dari kejahilliahan kepada keislaman.
Hanya manusia yang merdeka dan
perkasa mampu mencipta dan mengkaryakan sesuatu yang besar dan bermakna. Mereka
yang berjiwa hamba dan lemah tidak akan mampu menjadi bangsa yang berprestasi
dan menyumbangkan sesuatu yang bererti kepada dunia. Memang tidak ada apa-apa
yang dapat diharapkan dari bangsa yang lemah pengidap sindrome slave man mentality, berminda dan berjiwa hamba yang lemah
serba serbi, tidak memiliki apa-apa dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Ternyata misi membangunkan umat
atau bangsa bukan suatu yang mudah. Dengan tongkat mukjizatnya, nabi Musa as
dapat membelah laut sekelip mata tetapi dengan tongkat yang sama beliau tidak
dapat merubah sikap bangsanya yang berminda dan berjiwa hamba. Di sinilah
pentingnya misi revolatif transformative
itu dihayati menerusi semangat hijrah itu sendiri.
Kita tidak harus menjadi golongan
mustakhafin yang gagal mendapat rahmat
pertolongan Allah. Al-Quran menyebut mereka sebagai orang yang menzalimi diri
sebagaimana kisah yang terungkap dalam surah Al-Nisaa ayat 97: Sesungguhnya orang-orang yang diambil
nyawanya oleh malaikat, mereka sedang menganiaya diri sendiri. Mereka ditanya
oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama
Islam. Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.
Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu
berhijrah dengan bebas? Maka orang yang sedemikian itu kesudahannya, tempat
akhir mereka yakni neraka jahanam dan neraka jahanam itu ialah seburuk-buruk
tempat kembali.
Demikianlah nasib yang menimpa
bangsa yang berjiwa mustakhafin, yang
berpandangan sempit, tidak mempunyai wawasan masa depan dan tidak memiliki
tekad perjuangan mencipta kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya peluang untuk
merubah nasib sentiasa terbuka seluas saujana bumi Allah. Tetapi memang dasar
manusia berjiwa hamba yang lebih rela hidup hina daripada bersusah payah
berjuang menjadi bangsa terhormat, merdeka dan mulia.
Mereka hanya menyesali nasib
buruk akibat kerelaan tunduk kepada kaum penindas muktak dirin ketika segala-galanya sudah berlaku. Apalah gunanya
sesal yang sudah terlambat seperti itu.
Apa yang seharusnya kita renung
dengan kaca mata insaf ialah Al-Quran kitab yang memiliki kekuatan transformational, merubah watak manusia
liar dan ganas menjadi manusia penyayang dan beradab. Transformasi radikal
hasil penghayatan Al-Quran itu telah dilukiskan penceritaannya menerusi kisah
benar oleh para pejuang Islam awal. Barang diingat Al-Quran diturunkan di
tengah-tengah bangsa yang berbudaya berpuak-puak dengan fanatik kesukuan yang
sangat tebal, Dalam silang sengketa yang sudah membudaya begitu lama, maka soal
siapa benar dan siapa salah tidak menjadi perhitungan. Yang penting, dia orang
siapa! Orang kita harus dibela biar pun dia bersalah! Demikianlah yang namanya assabiyah jahilliah atau fanatik jahilliah itu.
Al-Quran telah menentang masyarakat fanatik
kekafilahan itu menerusi misi hijrah hingga menjadi masyarakat penyayang yang
disifatkan oleh Al-Quran sebagai masyarakat
saling berkasih sayang sesama mereka.
Transformasi tersebut dapat
terjadi apabila seluruh warganya menyerap nilai-nilai Al-Quran bermula dengan
rasulullah saw sendiri sebagai role model
keperibadian Al-Quran dan diikuti oleh para sahabat yang kesemuanya merupakan
Al-Quran yang hidup berjalan dengan dua kaki. Merekalah yang dimaksudkan dengan
ungkapan generasi Al-Quran yang unik itu.
Semugalah hendaknya Maal Hijrah
yang datang saban tahun dapat memberikan sumber inspirasi dan kekuatan dalam
perjuangan kita mengangkat martabat umat serta mempertahankan maruahnya.
Wallahu alam.
YBhg. Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Abd. Hamid b Hj Zainal
Abidin
PICC, Putrajaya
5 Nov 2013
No comments:
Post a Comment