Hikmat 91
Bila anda mengimbas semula orang-orang yang gigih dan berjaya anda akan
melihat bagaimana mereka telah mengalami jatuh bangun yang kerap, bahkan ada
kalanya begitu kerap. Proses jatuh bangun itu dianggap biasa kerana melaluinya
manusia terutamanya mendapat pendidikan yang amat penting dan boleh digunakan
untuk menjayakan langkah-langkah seterusnya. Manusia yang bijak adalah manusia
yang belajar dari kesilapan dan kejayaan sendiri juga kesilapan dan kejayaan
orang lain.
Oleh sebab kerap, maka ia sudah menjadi biasa, sudah tidak terasa. Jatuh
bangun adalah perkara biasa dan terlalu kerap terjadi. Ia menjadi luar biasa
bila jatuh kemudian tak bangun-bangun. Ia benar-bear bertentangan dengan fitrah
semula jadi manusia. Lihatlah kepada bayi, mereka akan berusaha sedaya-upaya
untuk bangun.Tidak malukah orang dewasa kepada bayi? Kenapa jatuh tak
bangun-bangun?
Ia dikategorikan sebagai luar biasa kerana menentang arus dan menentang
fitrah. Ramai di kalangan kita yang berkali-kali jatuh, kemudian bangun semula,
hinggakan tercipta peribahasa Jepun; 7 kali jatuh, 8 kali bangun. Negara Jepun
pada suatu masa dulu mukan sekadar jatuh tetapi musnah, namun beberapa tahun
kemudian bangun semula akhirnya menjadi penakluk ekonomi dunia. Apa yang utama
di sini? Kemahuan yang kuat untuk bangun semula. Juga kesedaran penting, apa
yang akan diperolehi dari menyerah kalah dan tersungkur ini? Benar, apa agaknya
yang diperolehi dari terjatuh tak bangun-bangun itu hingga menyebabkan terlibat
dalam keadaan luar biasa – jatuh tak bangun-bangun.
Memang tidak ramai yang kekal jatuh tanpa bangun semula. Kerana itu
dikatakan sebagai luar biasa. Ada banyak sebab mengapa tidak bangun semula.
Antaranya yang paling penting ialah dikuasai oleh takut, hilang kepercayaan
kepada diri sendiri. Percaya akan mengalami kegagalan yang sama jika bangun
memulakan semula. Itulah punca utama. Jika seandainya faham bahawa jatuh bangun
adalah proses yang sangat penting dalam pendidikan dan keperluan dalam mencapai
kejayaan pasti tidak memperdulikan takut, tiada keyakinan dan sebagainya. Pasti
akan terus bangun semula dan memulakan semula.
Jatuh kemudian bangun, lakukan semula. Mungkin anda tidak perlu
berkali-kali jatuh bangun, cukup sekali dua. Alangkah sia-sianya hidup jika
jatuh kemudia tak bangun-bangun.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment