Hikmat 100
Hidup manusia adalah pada nyawa dan masa. Sampai masa, tamat tempoh, nyawa
melayang, kita kembali menghadap Allah swt dengan membawa amalan (baik dan
jahat). Tapi, sebelum tamat tempoh, selagi masih bernyawa, selagi itulah masih
ada harapan. Bahkan sesaat sebelum tamat tempoh, masih ada lagi harapan.
Maknanya, jangan sekali-kali mengatakan harapan sudah tamat, selagi jantung
masih berdenyut. Jangan putus asa selagi masih bernafas. Sentiasa ada jalan,
sentiasa ada cara selagi masih bernyawa dan selagi ia dicari.
Tapi malang sekali, kebanyakkan manusia di sekeliling kita mati sebelum
kematian sebenar. Akal, pemikiran, fizikal sudah mati ketika jantung masih
berdenyut seperti biasa; ketika nyawa masih ada dan ketika fizikal dan mental
masih sihat walafiat. Bila ditanya hanya menggeleng – mana ada harapan lagi,katanya.
Kata-kata yang membunuh diri sendiri dan orang lain yang mendengarnya.
Memanglah tidak akan ada harapan sebab itu yang diprogram dan disetkan ke dalam
minda. Ada harapankah jika yang dimasukkan ke dalam minda ialah tiada harapan?
Tentulah sepanjang masa hanya memikirkan dan mencari-cari mustahil dan tidak
boleh.
Zaman dulu, orang berkata; masa itu emas. Kini sudah tidak sesuai lagi.
Masa adalah nyawa dan kehidupan. Maknanya, kehidupan ini ada tempohnya – sampai
masa tamatlah nyawa, bersama dengan tamatlah harapan, impian, cita-cita. Hidup
dan kehidupan kita hanyalah pada masa yang ditetapkan. Kerana itu, selagi masih
bernyawa, selagi itulah ada harapan.
Bagaimanapun, sebagaimana manusia-manusia berjaya sebelum kita – mereka
tidak hanya mengharap dan berharap. Harapan yang masih ada tidak disia-siakan
untuk mengusahakan apa yang sepatutnya diusahakan. Hanya sekadar mengharap dan
berdoa sahaja, tanpa usaha mati-matian adalah sama saja dengan mati sebelum
kematian.
Wallahu alam
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006
No comments:
Post a Comment