Wednesday, November 6, 2013

Ikan lebih sihat jika ada ular dalam kolam

Hikmat 28

Pesaing dan penanding ada di mana-mana, bukan sekadar dalam perniagaan. Setiap hari, sepanjang hayat kita ini sentiasa ada penanding. Begitu juga dengan risiko dan bahaya – memang sentiasa wujud tanpa perlu anda mencari-carinya. Bila ada ular bertapa di dalam kolam, ikan akan sentiasa berwaspada. Ikan akan menjadi sangat lincah ke sana ke mari bila mengetahui pada bila-bila masa sahaja ular akan menelan mereka. Kerana sentiasa waspada, berenang ke sana ke mari, ikan menjadi sihat. Jika tidak ada ular atau musuh lain, ikan lebih relaks, bermalas-malas menjadikan tidak sihat.

Tak payah dicari, pesaing pasti ada. Anda tak suka pesaing dan penanding? Bermakna anda tidak menyukai kemajuan dan kejayaan. Orang yang tidak menyukai pesaing dan menganggap pesaing adalah malapetaka biasanya akan mengalami malapetaka sebenar. Dengan adanya pertandingan atau persaingan yang sihat, selalunya kedua-dua belah pihak akan sama-sama maju. Lihat sajalah supermarket di tempat anda yang bersaing antara satu sama lain – akhirnya kesemuanya sama-sama maju.

Persaingan memang sangat penting dalam apa saja bidang kerana tanpa persaingan manusia enggan bergerak ke arah kemajuan. Sebagai contohnya, ada sebuah kedai di tempat anda yang menjadi monopoli, hanya satu kedai saja di situ. Lihatlah kedainya – ia tidak akan ada perubahan apa-apa kerana tak perlu bimbang apa-apa sebab tiada penanding. Walau tidak ada apa perubahan, ia tidak perlu risau kerana pelanggannya tetap ramai. Sekarang bandingkan – tiba-tiba ada kedai lain yang dibuka berhampiran – barulah kedai tadi berusaha sedaya upaya untuk mengatasi penanding barunya. Usaha untuk mengatasi penanding inilah yang membawa kepada perubahan dan kemajuan.

Hidup menjadi hambar jika tiada saingan  dan penanding.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

No comments:

Post a Comment