Rawatan keimanan
Selamat datang buat saudara
rapatku! Wahai doktor bahagia yang diberikan petunjuk untuk merawat penyakitnya
sendiri! Kebangkitan kerohanian yang dikhabarkan melalui surat saudara yang ikhlas, amat melayakkan
saudara untuk menerima ucapan tahniah dan rasa kebanggaan.Wahai saudaraku!
Ketahuilah bahawa kehidupan adalah merupakan sesuatu yang paling bernilai di
alam wujud ini. Segala perkara yang memberikan khidmat kepada kehidupan yang
kekal abadi merupakan tugas paling bernilai dalam kehidupan ini.
Ketahuilah bahawa intisari, nilai
dan pati kehidupan ini yang paling penting tersembunyi pada kedudukannya yang
merupakan benih, pemula dan pencetus bagi kehidupan yang abadi. Hinggakan jika
kita mempunyai konsep yang bertentangan dengan hakikat ini, iaitu dengan kita
membataskan segala usaha dan ilmu hanya untuk kehidupan yang fana ini, maka ia
merupakan kerosakan yang paling dahsyat kepada kehidupan yang abadi. Ia hanya
berlaku dengan sifat kegilaan dan kebodohan yang melampau, sebagaimana
seseorang yang sanggup menukar sambaran cahaya kilat dengan cahaya matahari
yang berkekalan.
Pada hakikatnya, para doktor yang
alpa tentang akhirat dan tenggelam dalam lumpur material merupakan orang yang
paling teruk mengalami kesakitan. Tetapi jika mereka berjaya menjalani rawatan
keimanan daripada farmasi Al-Quran dan Al-Sunnah lalu mengambil beberapa dos
ubatan yang dapat menghapuskan racun penyakit yang ada dalam badan, maka mereka
tidak hanya mengubati kelukaan kemanusiaan yang ada pada diri mereka sahaja,
bahkan mereka juga menjadi penyebab kepada penyembuhan kelukaan manusia
keseluruhannya.
Kami bermohon kepada Allah swt
agar kebangkitan kerohanian saudara menjadi penyembuh kepada luka yang saudara
alami, bahkan saudara sendiri menjadi contoh yang hidup dan qudwah (ikutan)
yang baik di hadapan pandangan para doktor yang lain serta menjadi ubat kepada penyakit mereka.Saudara
pasti tidak ragu lagi tentang kepentingan memasukkan perasaan gembira ke dalam
hati seorang pesakit yang sudah kecewa dan berputus asa daripada cahaya
pengharapan.
Memasukkan kegembiraan itu
mungkin lebih penting dan berfaedah baginya daripada memberikan ribuan jenis
ubatan yang lain. Tetapi para doktor yang tenggelam di dalam paya material yang
tabi’i hanya akan menambahkan perasaan kecewa yang mendalam kepada para
pesakit, hingga seluruh kehidupan menjadi hitam pekat di hadapan mereka.
Tetapi kebangkitan kerohanian
saudara akan menjadikan saudara, dengan izin Allah, paksi kegembiraan dan
hiburan bagi para pesakit itu dan orang-orang yang seumpama mereka. Kebangkitan
kerohanian saudara juga akan menjadikan saudara sebagai seorang doktor hakiki
yang memancarkan cahaya ke dalam hati dan menyebarkan kegembiraan ke dalam
jiwa. Adalah dimaklumi bahawa umur manusia amat pendek, sedangkan tugas yang
mesti dilaksanakan amat banyak. Oleh itu, kewajipan lebih banyak daripada waktu
yang ada.
Jika saudara memeriksa
maklumat-maklumat di dalam otak saudara, sebagaimana yang aku lakukan, saudara
akan dapati ada di antara maklumat-maklumat tersebut yang tidak berfaedah dan
tidak penting. Ia adalah maklumat yang remeh, sama seperti timbunan saki baki
kayu api yang sudah tidak berguna. Aku juga pernah melakukan pemeriksaan
seumpama ini, lalu kudapati banyak di antara maklumat itu tidak berfaedah dan
tidak penting.
Ya, tidak dapat tidak, kita
hendaklah mencari rawatan dan wasilah yang membolehkan kita menjadikan maklumat
ilmiah dan pengetahuan falsafah itu berguna, berfaedah, bercahaya, hidup
berdegup dan memberikan faedah dan manfaat. Saudara hendaklah tadharru’ kepada Allah dan berdoa
kepadaNya agar mengurniakan kepada saudara kebangkitan kerohanian yang dapat
menyucikan dan membersihkan pemikiran saudara demi kerana Allah swt semata-mata.
Kebangkitan kerohanian itu juga
akan membakar timbunan kayu api agar mengeluarkan cahaya dan menukarkan
pengetahuan ilmiah yang dulunya tidak mempunyai faedah kepada pengetahuan Ilahiyyah yang mempunyai nilai dan harga
yang tinggi.
Sahabatku yang pintar!
Sesungguhnya hati amat suka agar
beberapa orang yang telah memiliki jiwa yang suci bersih dapat mara ke hadapan,
iaitu mereka yang terdiri daripada ahli ilmu yang mempunyai perasaan kerinduan
yang mendalam kepada cahaya keimanan dan rahsia Al-Quran.
Oleh kerana surah ini mampu berbicara
dan berdialog dengan perasaan dalaman saudara, maka janganlah saudara
menganggapnya hanya sebagai surat
khusus daripadaku untuk saudara sahaja. Bahkan hendaklah saudara menganggap
setiap perkataan yang terkandung di dalamnya sebagai risalah yang ditujukan
kepada saudara daripada seorang pebdakwah yang menyeru dan menunjukkan kepada
Al-Quranul-Karim
Ambillah risalah ini sebagai
preskripsi ubatan yang ditulis oleh seorang doktor, yang dikeluarkan daripada
farmasi Al-Quran. Dengan itu, saudara akan membuka satu majlis yang luas dan
mulia di alam ghaib, iaitu satu majlis yang diberkat.
Wallahu alam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit
No comments:
Post a Comment