Tokoh
Kedua - kebangsaan:
YBhg
Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Abd. Hamid B Hj Zainal Abidin
Mantan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tokoh istimewa ini dilahirkan 69
tahun yang lalu, pada tanggal 20 Februari 1944 di Bagan Datoh, Perak. Mengimbau
sejarah sejalur kenangan, alam persekolahan tokoh hebat ini bermula di Sekolah
Melayu Kg Tanah Lalang, Bagan Datoh Perak sebelum menyambung pengajian di
Madrasah Idrisiah, Batu 26 Bagan Datoh Perak.Nekad meninggalkan ayah bonda demi
mengabdikan diri kepada ilmu pengetahuan, kembara ilmu insan ini diteruskan di
College Islam Malaya Klang, Selangor.
Dengan semangat kecintaan yang
tinggi dan keazaman untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, beliau
meneruskan perantauannya meninggalkan tanah air tercinta menuju institusi
pendidikan ulung dan pusat kesarjanaan terkenal di bumi anbia’, Universiti
Al-Azhar, Kaherah Mesir.
Tepatlah kata pepatah, jika tidak
dipecahkan ruyung manakah dapat sagunya. Dengan usaha yang tidak pernah kenal
jemu dan penat lelah yang tidak kunjung padam, beliau akhirnya berjaya
memperolehi Ijazah Sarjana Perundangan Islam takasuf dalam bidang Siasah
Syariah.
Tahun 1971 menjadi saksi
permulaan kerjaya insan ini dengan memulakan career sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah Tengku Besar
Tampin, Negeri Sembilan sehingga diangkat sebagai Ketua Jabatan Pengajian Islam
dan Bahasa Arab Maktab Perguruan Islam.
Hidup harus berani berubah.
Itulah ungkapan paling tepat, menggambarkan semangat hidup beliau demi
kelangsungan agama, nusa dan bangsa. Dari dunia pendidikan, beliau beralih arah
ke medan berbeza sehingga dilantik sebagai
peneraju Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Kementerian Pertahanan Malaysia .
Demi memartabatkan Islam dan
meninggikan syiar, beliau terus menabur khidmat sematang usia. Sumbangannya
dalam bidang pembangunan Islam tidak pernah ternokhtah di KAGAT apabila beliau
diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia , Jabatan Perdana Menteri Malaysia .
Bak kata pepatah; Kalau asal benih
yang baik, jatuh ke laut menjadi
pulau,jatuh ke laut menjadi gunung. Kredibiliti dan karismanya terus mewangi
dan pantas dihidu hingga pernah meletakkan dirinya di kerusi Menteri di Jabatan
Perdana Menteri.
Dari dunia pendidikan mengorak
langkah ke alam ketenteraan seterusnya pentadbiran Islam, telah memahatkan
pelbagai inovasi dan transformasi sehingga banyak perubahan dan kecemerlangan
telah dicapai. Jiwa yang kuat terhasil daripada ujian yang pernah diharungi
sehingga melahirkan insan berjiwa besar dan bersemangat kental. Walau usia
tidak semuda, hampir menjengah usia 70 tahun, rentak, tingkah, ranjau
perjalanan panjangnya telah ditonton persada. Jerih, perit bersulam suka dan
duka silih berganti. Namun demi kemuliaan agama, bangsa dan tanah air tercinta
segalanya pasti sanggup diharungi dan tidak akan kunjung padam selamanya
sehingga nadi denyut terakhir.
Muga segala jasa, bakti serta pengorbanan kedua-dua orang tokoh ini
menjadi sumber inspirasi kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus menyumbang
bakti kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Wallahu a’lam.
PICC, Putrajaya
5 Nov 2013
No comments:
Post a Comment