Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Wednesday, November 6, 2013

Kriteria pemilihan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1435H

Pertama:
Berpengetahuan luas dan mendalam dalam disiplin ilmu yang dimanfaatkan ke arah pembangunan ummah, agama dan negara

Kedua:
Mempunyai sifat dan peribadi yang unggul, yang boleh dijadikan tauladan

Ketiga:
Telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah dan

Keempat :
Ketokohannya mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat umum

Periwayatan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan
PICC, Putrajaya

5 Nov 2013

Tuesday, November 5, 2013

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1435H (2)

Tokoh Kedua - kebangsaan:
YBhg Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Abd. Hamid B Hj Zainal Abidin
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tokoh istimewa ini dilahirkan 69 tahun yang lalu, pada tanggal 20 Februari 1944 di Bagan Datoh, Perak. Mengimbau sejarah sejalur kenangan, alam persekolahan tokoh hebat ini bermula di Sekolah Melayu Kg Tanah Lalang, Bagan Datoh Perak sebelum menyambung pengajian di Madrasah Idrisiah, Batu 26 Bagan Datoh Perak.Nekad meninggalkan ayah bonda demi mengabdikan diri kepada ilmu pengetahuan, kembara ilmu insan ini diteruskan di College Islam Malaya Klang, Selangor.

Dengan semangat kecintaan yang tinggi dan keazaman untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, beliau meneruskan perantauannya meninggalkan tanah air tercinta menuju institusi pendidikan ulung dan pusat kesarjanaan terkenal di bumi anbia’, Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.

Tepatlah kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakah dapat sagunya. Dengan usaha yang tidak pernah kenal jemu dan penat lelah yang tidak kunjung padam, beliau akhirnya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Perundangan Islam takasuf dalam bidang Siasah Syariah.

Tahun 1971 menjadi saksi permulaan kerjaya insan ini dengan memulakan career sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah Tengku Besar Tampin, Negeri Sembilan sehingga diangkat sebagai Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Bahasa Arab Maktab Perguruan Islam.

Hidup harus berani berubah. Itulah ungkapan paling tepat, menggambarkan semangat hidup beliau demi kelangsungan agama, nusa dan bangsa. Dari dunia pendidikan, beliau beralih arah ke medan berbeza sehingga dilantik sebagai peneraju Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Demi memartabatkan Islam dan meninggikan syiar, beliau terus menabur khidmat sematang usia. Sumbangannya dalam bidang pembangunan Islam tidak pernah ternokhtah di KAGAT apabila beliau diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Bak kata pepatah; Kalau asal benih yang baik,  jatuh ke laut menjadi pulau,jatuh ke laut menjadi gunung. Kredibiliti dan karismanya terus mewangi dan pantas dihidu hingga pernah meletakkan dirinya di kerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Dari dunia pendidikan mengorak langkah ke alam ketenteraan seterusnya pentadbiran Islam, telah memahatkan pelbagai inovasi dan transformasi sehingga banyak perubahan dan kecemerlangan telah dicapai. Jiwa yang kuat terhasil daripada ujian yang pernah diharungi sehingga melahirkan insan berjiwa besar dan bersemangat kental. Walau usia tidak semuda, hampir menjengah usia 70 tahun, rentak, tingkah, ranjau perjalanan panjangnya telah ditonton persada. Jerih, perit bersulam suka dan duka silih berganti. Namun demi kemuliaan agama, bangsa dan tanah air tercinta segalanya pasti sanggup diharungi dan tidak akan kunjung padam selamanya sehingga nadi denyut terakhir.

Muga segala jasa, bakti serta pengorbanan kedua-dua orang tokoh ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Wallahu a’lam.

PICC, Putrajaya
5 Nov 2013

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1435H (1)


Tokoh Pertama  - Antarabangsa:
YBhg Dr Zakir Abd Karim Naik
Pengasas dan Presiden Islamic Research Foundation

Tanggal 18 Oktober 1965, nun jauh di bumi Mumbai India telah lahir seorang putera yang tiada siapa dapat menjangka akan menjadi terkenal seantero dunia. Tokoh istemewa ini mendapat pendidikan tinggi di Sekolah Menengah Tinggi St. Peter sebelum meneruskan pengajiannya di  Kolej Kishinchand Chellaram dan Kolej Perubatan Kebangsaan Topiwala  & Nair Hospital University of Mumbai.

Berkat kesungguhan beliau akhirnya berjaya memperolehi ijazah dalam bidang perubatan di University of Mumbai, India. Rasa kebertanggongjawaban terhadap agama yang dicintai mendorong beliau untuk menumpu sepenuh terhadap bidang dakwah melalui Islamic Research Foundation. Menjadikan Sheikh Ahmed Deedat sebagai inspirasi, beliau mengorak langkah sebagai pendakwah disegani kawan dan lawan. Hujahnya petah serta bernas, mengabung akal dan juga nas. Orang mendengar rasa tertewas,orang bertanya rasa terlunas.

Berstatus bintang di arena antarabangsa, tokoh berwibawa ini telah menyampaikan lebih 1000 ucapan awam mengenai Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ucapannya telah tersiar dalam lebih 200 siaran televisyen pelbagai negara, telah dimuatnaik dalam laman You Tube dan telah tersebar dalam bentuk DVD di seluruh dunia.

Anugerah ilmu yang dikurniakan Allah kepada beliau telah digunakan sebaiknya. Kepakaran menganalisa dan menjawab setiap persoalan dengan jawapan yang menyakinkan telah menjadikan beliau begitu berpengaruh dan tersenarai di tangga ke 62 dalam kalangan 500 muslim paling berpengaruh di dunia pada tahun 2011 dan 2012.

Sumbangannya yang cemerlang kepada umat Islam  dalam bidang media, pendidikan dan dakwah telah mendorong Sheikh Mohammad b Rashid Al Maktoum, Perdana Menteri dan Pemerintah United Arab Emirates untuk menganugerahkan beliau sebagai Personaliti Islam 2013 semasa majlis Anugerah Al Quran Antarabangsa Dubai.

Wallahu a’lam.

PICC, Putrajaya
5 Nov 2013

Monday, January 7, 2013

Umar di masjid


Di suatu malam, Umar bin Abdul Aziz masuk ke sebuah masjid bersama-sama para pengawalnya. Beliau hampir memijak seseorang yang duduk, orang tersebut berkata : Adakah kamu buta?. Tidak, jawab Umar bin Abdul Aziz. Para pengawalnya hampir memukul orang tersebut tetapi dia melarangnya.
 
Umar bin Abdul Aziz kemudian berkata : Dia hanya bertanya kepadaku dan saya menjawabnya.

Khalifah inilah yang telah menulis surat kepada salah seorang gabenornya : Jika kamu mampu melakukan kezaliman kepada seseorang, maka ingatlah akan kemampuan Allah swt Yang Maha Tinggi kepadamu.

Wallaahu a’lam.

(Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang zaman; Syeikh Muhammad Sa’id Mursi)

Thursday, November 15, 2012

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1434H


Tanggal 21 Julai 1939, telah memahat sejarah kelahiran seorang insan yang akan membuat jasa pada agama, bangsa dan negara. Siapa sangka anak jati Kampung Kemelong, mukim Sik Kedah Darul Aman, jasa baktinya bakal dikenang dan dijulang sepanjang zaman.Dalam suasana kampung, beliau telah diasuh dan dididik mengenal ilmu dan hukum hakam.

Sejarah musafir ilmu beliau, telah bermula di Sekolah Melayu Sik, Kedah kemudian mendapat talbiah pula di Madrasah Al Nadah, Bukit Besar sehingga tahun 1954 Selepas itu menyambung pula pengajiannya di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar Perak. Tidak terhenti setakad itu, insan ini terus berusaha dengan penuh tekad membongkar makna iqrak, Kolej Islam Klang menjadi destinasi pemukiman ilmu sehingga dianugerahkan Sijil Tinggi Agama dan Diploma Pendidikan.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus berlari dengan pantas mengejar ilmu, merantau pula di bumi Anbia’ Mesir. Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara, itulah hijrah dan pengorbanan.  Akhirnya beliau berjaya dikurniakan Ijazah Sarjana Perundangan Islam, Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau terus berada di puncak kesarjanaan. Dianugerahkan pula Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Saint Andrews, Scotland. Itulah liku-liku  jejak beliau mencari makna ilmu dan budi. Seperti mafhum sabda nabi saw : Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain.

Insan ini memulakan career sebagai guru di Kolej Islam, Klang Selangor. Selepas itu bertugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan seterusnya telah dilantik sebagai pengetua Maktab Perguruan Islam.

Sejarah perkhidmatan beliau ini telah menonjolkan betapa tingginya cinta beliau terhadap ilmu. Seterusnya kegemerlapan kecemerlangan career beliau terus berkilau sehingga dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri.Bak kata pepatah, benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, beliau terus diberikan amanah besar dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bermula detik itu, beliau telah memerahkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman untuk agama, bangsa dan negara . Beliau terus komited berjuang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan umat Islam di Malaysia.Beliau adalah arkitek penting dalam meneruskan landskap pembangunan Islam sehingga dikenali di persada antarabangsa.

Atas jasa besar beliau, Sukatan Pelajaran Agama Islam telah dilaksanakan di sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah. Selain itu idea emas beliau juga telah berjaya menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh  Malaysia. Begitu juga sistem Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta Program Takmir Masjid dan Surau telah diperkasakan beliau. Inilah jariah besar beliau untuk anak bangsa.

Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, kepakaran beliau terus didamba. Beliau terus menabur bakti buat agama Islam yang suci. Beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga pernah berkhidmat selaku Setiausaha Agung Terhormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia iaitu PERKIM.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi, insan yang amat berjasa dan amat kita sayangi ini telah kembali ke rahmatullah pada 23 Disember 2011. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham di alam sana. Mudah-mudahan segala usaha, jasa bakti beliau semasa hayat kepada agama, nusa dan bangsa menjadi amal jariah kepada beliau.

 Ternyata pengorbanan serta sumbangan Allahyarham kepada agama, bangsa dan negara begitu tinggi nilainya. Ia wajar dijadikan semangat buat seluruh anak Malaysia untuk terus melakar bakti kepada nusa dan bangsa yang bertuah ini.

Oleh yang demikian, setelah menilai dan meneliti segenap sudut maka Jawatankuasa Pemilih Tokoh Maal Hijrah berpuashati untuk memilih dan mengisytiharkan bahawa Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun 1434H bersamaan 2012M.

Marilah kita sama-sama membaca Al-Fatihah, menghadiahkan kepada Allahyarham   Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman. Al-Fatihah.

PICC, Putrajaya
1 Muharram 1434H
15 Nov 2012