Hikmat 13
Tong berisi tidak berbunyi.
Buktikan sendiri. Ambil tong kecil, ketuk, ia akan berbunyi bising. Isi air
atau pasir, ketuk, ia tidak berbunyi bising. Mana satu pilihan anda? Tong
kosong atau tong berisi? Hanya orang yang malang
sahaja memilih tong kosong. Orang yang diibaratkan sebagai tong berisi memang
sentiasa diam dan senyap berbeza amat ketara dengan manusia yang dikategorikan
sebagai tong kosong – sepanjang masa asyik mengetuk tong, memukul canang,
menghebohkan apa yang tidak ada dan tidak dimiliki.
Dari warisan hikmat tersebut juga
dengan sangat mudah anda mengenali sama ada seseorang atau pertubuhan itu tong kosong atau tong berisi. Jika cakap berdegar-degar, beria-ia benar hendak
menonjolkan diri dan pertubuhan; jika yang disebut sentiasa besar-besar,
hebat-hebat belaka, memang sahlah ia sekadar tong kosong.
Bukankah telah terbukti, tong
kosong memang bising dan bunyinya kuat bergema. Perhatikan sekali lagi
pertubuhan atau manusia yang benar-benar berisi
– mereka senyap sunyi tak pernah hendak menyibuk menonjolkan diri atau
mengada-adakan yang tidak ada. Nampak perbezaan besar? Memang jelas sekali jika
anda menjadi pemerhati. Yang benar tetap benar; yang berisi tetap bersisi tanpa
perlu sibok memalu tong. Yang kosong sahaja yang riuh rendah memberitahu,
mencanangkan seluruh dunia.
Apa sebenarnya mesej yang hendak
disampaikan. Mesejnya sangat mudah; jangan mudah terpedaya dan jangan
sekali-kali memperdaya.Jangan terpedaya dengan tong kosong dan jangan sekali-kali memperdayakan orang dengan tong kosong.
Wallahu a’lam.
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006
No comments:
Post a Comment