Wahai pesakit yang tidak dapat
beribadat dan melakukan wirid-wirid kerana sakit! Wahai pesakit yang berdukacita kerana tidak dapat melakukannya! Ketahuilah
bahawa terdapat di dalam hadis, seorang mukmin yang bertaqwa terus menerima
pahala amal ibadat yang dilakukan meskipun ketika dia sakit. Keadaan sakitnya
tidak menghalang dia daripada terus memperolehi pahala.
Seseorang pesakit yang menunaikan
ibadat fardhu sekadar kemampuannya, maka keadan sakitnya itu menggantikan
seluruh ibadat sunat ketika dia berada dalam keadaan amat sakit. Kerana pesakit
itu menghadapi penyakitnya dengan penuh kesabaran, bertawakkal dan tetap
menunaikan ibadat yang fardhu.
Penyakit juga menyebabkannya
merasai kelemahan dan kedhaifannya. Lalu dia tadharru’ kepada Allah dengan
perasaan lemah melalui doa, sama ada dengan keadaan dirinya atau melalui
perkataan. Kelemahan dan kedhaifan yang diletakkan oleh Allah di dalam diri
manusia bertujuan agar manusia sentiasa memohon perlindungan Allah dengan
berdoa dalam keadan penuh harapan.
Hikmat di sebalik penciptaan
manusia dan tugas asasinya ialah semata-mata berdoa, berdasarkan kandungan ayat
suci Al-Quran : Katakanlah (wahai
Muhammad): Tuhanku tidak akan menghargai kamu
kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya…. (Al-Furqan:77)
Oleh kerana sakit adalah sebab
bagi melakukan doa yang tulus ikhlas, maka tidak sepatutnya seseorang mengadu
sakit, bahkan wajib bersyukur, kerana tidak sayugia sumber air bagi doa yang
dipancarkan oleh kerana keadaan sakit dikeringkan dengan memperolehi
kesembuhan.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment