Wahai saudara-saudaraku yang
sakit!. Jika kamu merasakan keperluan kepada suatu rawatan suci yang amat
bermanfaat atau suatu ubat yang mengandungi kelazatan yang hakiki bagi setiap
penyakit, maka kamu hendaklah sentiasa memperteguhkan dan menggilap iman kamu.
Iaitu dengan melakukan taubat, istighfar, solat dan ibadat, kerana ia adalah
rawatan suci yang tercerna melalui peningkatan keimanan.
Sesungguhnya orang-orang yang
alpa dan lalai kerana kecintaan mereka terhadap dunia dan kebergantungan mereka
yang teramat terhadapnya, menjadikan seolah-olah mereka memiliki suatu
keperibadian maknawi yang sedang mengalami sakit tenat, yang penyakitnya
sebesar dunia ini sendiri. Lalu iman yang masih ada menghentakkan pukulan maut
kepada jasad yang sedang sakit itu sebagai ubat yang menyembuhkan dan
menyelamatkannya daripada luka dan kecederaan. Kami telah buktikan di dalam
beberapa risalah bahawa iman memberikan penawar yang hakiki. Untuk tidak
memanjangkan perkara ini, aku ringkaskannya seperti berikut:
Rawatan iman jelas memperlihatkan
kesannya dengan melakukan perkara-perkara fardhu yang termampu dilakukan oleh
seseorang. Manakala kealpaan, kebodohan, menurut hawa nafsu dan permainan yang
tidak dibenarkan syarak boleh membatalkan kesan rawatan tersebut.
Oleh sebab penyakit dapat
menghilangkan selaput kejahatan, memadamkan api syahwat dan menghalang
benda-benda yang ditegah daripada memasuki tubuh badan, maka hendaklah kamu
mengambil manfaat daripadanya.
Gunakanlah rawatan keimanan yang
hakiki dan cahaya qudus dengan bertaubat, istighfar, doa dan pengharapan agar
Allah swt, menyembuh dan menjadikan penyakit kamu sebagai penghapus dosa.
Aameen…..aameen…..aameen……!
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment