Wahai pesakit yang mengadu
kegelisahan! Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya
tentang ikatan kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang paling penting dan
indah, iaitu saling hormat menghormati dan perasaan berkasih sayang.
Ikatan ini boleh menyelamatkan
manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain. Kerana sifat
tidak memerlukan kepada orang lain akan menyebabkan seseorang hidup dalam
kelaphaan, terasing dan liar serta menghilangkan sifat belas kasihan daripada
dirinya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap
melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab dia
melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya…. (Al-‘Alaq:6-7)
Jiwa ammarah yang terjatuh ke
dalam perangkap sifat tidak memerlukan
orang lain yang terhasil daripada kesihatan dan keafiatan yang berpanjangan
dan berterusan, tidak akan memberikan penghormatan yang selayaknya terhadap
hubungan persaudaraan.
Ia juga tidak akan mempunyai
perasaan rahmat dan belas kasihan terhadap mereka yang ditimpa musibah dan
penyakit yang selayaknya mendapat rahmat dan kasihan belas serta kasih sayang.
Tetapi jika seseorang itu ditimpa sakt, dia akan memahami betapa lemahnya dia,
betapa dia memerlukan kepada orang lain ketika mengalami tekanan penyakit,
kesakitan dan bebanannya. Dia akan memberikan penghormatan kepada saudara-saudaranya
yang beriman yang layak diberikan penghormatan kerana menjaganya ketika sakit,
atau yang datang menziarahi ketika sakitnya.
Begitu juga dia akan memiliki
perasaan belas kasihan kemanusiaan yang merupakan suatu sifat keimanan yang
penting terhadap mereka yang ditimpa musibah dan bala bencana sebagaimana
dirinya. Lalu melimpah-limpahlah daripada hatinya perasan kasih sayang dan
belas kasihan dalam pengertian yang seluas-luasnya. Jika mampu, dia akan
menghulurkan bantuan kepada mereka. Jika tidak, dia akan mula menadah tangan
berdoa buat mereka. Atau datang menziarahi mereka serta bertanya khabar tentang
keadaan dan kesihatan mereka. Dengan itu, dia telah melaksanakan suatu sunnah
yang dituntut dan memperolehi balasan pahala yang besar.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment