Wahai pesakit yang mengaduh
kesakitan! Janganlah kamu mengaduh dan berkeluh kesah memandang kepada zahir
penyakitmu yang jelek itu. Bahkan lihatlah kepada makna dan kandungannya.
Bergembiralah dengan berkata : Alhamdulillah…….!
Jika penyakit tidak mengandungi
sesuatu pengertian yang indah nescaya Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha
Pengasih tidak menguji makhlukNya yang paling dikasihi daripada kalangan para
hambaNya dengan pelbagai jenis penyakit. Tersebut di dalam sebuah hadis : Golongan yang paling banyak terkena bala
ialah para nabi, kemudian para wali dan golongan yang seumpama mereka…..
(HR: At-Thabrani)
Terdapat beberapa hadis yang
mempunyai pengertian hampir sama. Kesemuanya adalah sahih.
Salah satu daripada hadis
tersebut (diriwayatkan oleh At-Thabrani) ialah daripada saudara perempuan
Huzaifah ra bahawa rasulullah saw bersabda : Golongan manusia yang paling banyak terkena bala ialah para nabi,
kemudian para wali, kemudian golongan yang seumpama mereka dan begitulah
seterusnya….(Sahih Al-Jami; Al-Saghir)
Orang yang paling teruk dikenakan
bala ialah nabi Ayub as, seorang yang amat penyabar. Kemudia diikuti oleh para
nabi yang lain, kemudian para wali dan para solihin. Kesemua mereka menerima
bala penyakit tersebut dengan menganggapnya sebagai ibadat ikhlas dan hadiah
ketuhanan. Mereka melaksanakan tugas bersyukur di samping kesabaran yang mereka
tunjukkan. Mereka melihatnya sebagai sejenis operasi pembedahan yang
dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada mereka.
Wahai pesakit yang sentiasa
mengaduh dan mengerang! Jika kamu berhasrat untuk turut menyertai kafilah murni
ini, maka hendaklah menunaikan kewajipan bersyukur di celah-celah kesabaran.
Jika tidak, pengaduan yang dilakukan akan menjadikan mereka enggan
menggabungkan kamu ke dalam kafilah mereka, bahkan kamu akan mencampakkan diri
ke dalam gaung kelpaan. Seterusnya kamu akan melalui jalan yang penuh dengan kegelapan.
Terdapat beberapa jenis penyakit
yang jika ia menyebabkan kematian akan menyebabkan orang yang mengalaminya
memperolehi mati syahid maknawi, seterusnya mendapat maqam wali di sisi Allah.
Iaitu penyakit yang disebabkan oleh melahirkan anak, penyakit di dalam perut,
lemas, terbakar dan taun. Jika seseorang meninggal dunia kerana perkara-perkara
di atas, maka darjatnya akan ditinggikan sehingga mendapat syahid maknawi.
Terdapat juga beberapa penyakit yang jika mengakibatkan kematian akan menyebabkan
orang yang menghidapnya memperolehi darjat wali di sisi Allah.
Di samping penyakit yang dialami
boleh mengurangkan kecintaan mendalam terhadap dunia dan kenikmatannya, serta
mengurangkan keterikatan mendalam dengannya, ia juga boleh mengurangkan
perasaan sedih dan pahit kerana berpisah denggannya seperti yang dialami oleh
ahli dunia ketika mereka meninggalkan dunia ini. Bahkan penyakit itu boleh
menyebabkan ia merasa kasih dan suka kepada kematian.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment