Wednesday, October 2, 2013

Imej diri adalah cermin kehidupan (1)



Imej diri ialah apa yang kita lihat pada sifat dalaman diri kita berdasarkan pandangan mata hati. Dengan melihat imej diri kita akan dapat melihat mengapa kita berperangai seperti sekarang. Secara ringkas, imej diri juga dapat didefinisikan sebagai sikap luaran kita, sepertimana yang kita niatkan dan fikirkan di dalam hati.

Itulah imej diri yang dapat kita lihat dalam diri kita. Jika imej kita adalah seorang pemenang, baik, solehah dan sebagainya maka imej diri kita akan menjadi positif dan ia akan membentuk sikap kita. Setiap apa yang dilakukan oleh manusia adalah berdasarkan blue print, iaitu pelan dalaman diri yang terbentuk daripada imej diri mereka sendiri.

Apabila imej diri seseorang itu baik, maka tindakbalas tubuhnya akan berfungsi ke arah kebaikan. Imej dalaman yang baik ditentukan oleh minda yang berfikiran baik, kerana minda mengawal segala tindak balas dan terbukti lebih kuat daripada fizikal. Hal ini disebabkan fizikal menjalankan apa yang disuruh oleh minda.

Faktor kekuatan dalaman sangat penting dalam diri seseorang kerana ia dapat menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang berfikiran positif maka semua tindak balas dalaman yang dilakukan oleh tubuh, percakapan, perasaan, emosi, kita akan memberi kesan kepada dunia luaran. Contohnya, jika kita memberikan senyuman, orang akan senyum kembali kepada kita. Tetapi jika kita marah, orang akan memarahi kita pula.

Kebanyakkan manusia yang tidak berjaya di dalam kehidupan adalah seorang yang suka menyalahkan diri sendiri, merungut dan berfikiran negatif. Oleh itu perbetulkan imej diri, blue print dan paradigma, supaya menjadi positif agar mendapat kejayaan dan dapat membuat perubahan dalam kehidupan. Selagi seseorang itu tidak mahu berubah, maka imej diri tidak akan berubah, dan dunia mereka tidak akan berubah.

Oleh itu, setiap apa yang kita lakukan, kita perlu yakin kepada Allah swt. Allah akan membantu setiap apa yang kita lakukan jika kita bersangka baik kepadaNya. Apabila kita merasa sesuatu perkara itu dibuat dengan mudah, maka emosi dan tindak balas kita akan memperolehi keyakinan melakukannya dan kita akan lebih mudah berjaya dalam kehidupan.

Wallahu a’lam

Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012

No comments:

Post a Comment