Ciri ketiga kualiti murid seperti
yang terungkap dalam PPPM ialah kemahiran memimpin. Ilmu pengetahuan terbina,
kemahiran berfikir yang terjadi bakal membantu kemahiran memimpin murid dan
pelajar. Kemahiran ini harus dipupuk sejak awal usia lagi supaya dewasanya
murid dan pelajar dipupuk dengan nilai dan kualiti kepimpinan yang baik.
Dalam dunia yang sifatnya
interaktif, bakat untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan
amat penting. Sistem pendidikan negara akan bantu setiap murid menggilap
potensi diri sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal
untuk bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan teladan.
Dalam konteks sistem pendidikan
kepimpinan merangkumi empat dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan,
kecerdasan emosi dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan. Justeru pemimpin harus berilmu
dan berkemahiran, menjadi sumber teladan dan ikutan yang baik supaya daya
kepimpinannya menjadi contoh kepada orang lain.
Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran membina kemahiran memimpin terhadap diri adalah perkara utama dan
penting. Potensi diri yang terdapat harus digilap supaya bakat kepimpinan
terbina. Kualiti diri yang membawa kepada kecerdasan, kepintaran, ketangkasan
dan bijaksana amat penting disuburkan supaya kepimpinan diri menyumbang
terhadap yang lain.
Mendepani alaf 21 ini kemahiran
memimpin menjadi prasyarat utama meletakkan negara kita tidak saja maju dan moden
tetapi maju dalam acuan kita sendiri. Ini kerana cabaran masa depan kepimpinan negara
tidak saja sifatnya strategic dan intelektual tetapi harus memiliki keupayaan
etika dan nilai yang tinggi dan mampu menyantuni masalah dan cabaran yang
semakin kompleks.
Dalam tradisi Islam pemimpin dan
kepimpinan dihubungkan sebagai taklif atau amanah. Kualiti amanah ini sangat
penting bagi menentukan perubahan dan kejayaan berlaku. Amanah tidak saja
dengan Allah tetapi dengan manusia, sistem dan negara.
Di samping amanah pemimpin harus
adil, Keadilan adalah neraca yang sangat penting dalam membuat pertimbangan dan
keputusan. Keadilan tidak sekadar sifatnya suatu pernyataan. Ia harus ditunjukkan
menerusi sikap, pendirian dan terlihat ia dilaksanakan. Keadilan mesti bermula
pada diri. Oleh itu sejak awal lagi diri murid atau pelajar harus dididik
berlaku adil.
Aspek lain yang sangat penting
dalam membina daya kepimpinan ialah pekerti yang memberi teladan pada orang
lain. Dalam tradisi Islam rasulullah saw memiliki qudwah hasanah atau contoh
yang baik terhadap orang lain. Bila pemimpin mempunyai pekerti yang baik ia
bakal melahirkan kepengikutan yang baik juga.
Dalam suasana persekolahan tidak
saja aspek kurikulum penting dalam memberi ilmu dan kemahiran tetapi
kokurikulum juga sangat mustahak dalam membina potensi mereka. Hal yang
terhubung dengan kegiatan ekstra kurikulum harus mampu menyaring dan memupuk
bakat murid dan pelajar supaya binaan kualiti kepimpinan terserlah di samping
pengukuhan aspek-aspek lapangan dan kesukarelaan.
Potensi diri murid dan pelajar
ini harus dibina berasaskan etika dan nilai. Tanpa etika dan nilai murid dan
pelajar tidak akan mempunyai ikatan dan pedoman yang teguh dan kukuh. Bagi
pelajar Islam nilai paling utama (tauhidik) harus menjadi asas terhadap proses
pengilmuan dan pendidikan dan bagi pelajar bukan Islam, nilai-nilai interaktif
(universal) seharusnya dibina supaya landasan etika dan nilai mendasari
pendidikan.
Cabaran pemimpin dan kepimpinan
alaf 21 adalah lebih kompleks. Perubahan terhadap dapatan sains dan teknologi
berlaku dengan pesat. Teknologi maya dan perkembangan media baru tidak saja
mencabar sikap dan pendirian tetapi memerlukan kebijaksanaan tinggi
menyantuninya.
Faktor globalisasi akan memberi
kesan terhadap perubahan dalam negara. Isu hak asasi akan sentiasa didepani antara hal
asasi yang terbina bersamanya etika dan nilai atau hak asasi yang sifatnya
lepas bebas tanpa dukungan etika dan nilai.
Natijah akhir dari proses
perubahan dan kemajuan manusia ialah ke arah pembinaan peradaban tinggi.
Sekiranya kemajuan bermakna runtuhnya system kekeluargaan, berkembangnya faham
anarki, suburnya kecenderungan hedonistic ia bakal memusnahkan kualiti
manusiawi dan berubah kepada status haiwani. Menjadi pemimpin harus peka dengan
hal ini supaya daya kepimpinan yang dibina menjadikan pemimpin memiliki kualiti
ilmu dan berfikir yang baik dan kualiti kepimpinan yang menjdi sumber contoh
dan ikutan.
Wallahu ‘alam.
Sidek Baba
Sinar Harian
17 Oktober 2013
No comments:
Post a Comment