Wahai pesakit yang mengadu
kesakitan! Aku bermohon dengan nama Allah, agar kamu mengembalikan ingatan kamu
terhadap umur kamu yang telah berlalu. Aku juga bermohon agar kamu mengingati
hari-hari lalu yang bahagia dan penuh kenikmatan serta waktu-waktu yang
mencabar dan penuh kesulitan.
Sudah pasti, sama ada kamu akan
melepaskan nafas kelegaan atau mengaduh terkenangkan hari-hari tersebut. Iaitu
sama ada kamu akan menarik nafas lega seraya berkata: Segala puji bagi Allah dan kesyukuran bagiNya. Atau kamu akan
berkata: Alangkah sedihnya! Alangkah
dukacitanya!.
Lihatlah bagaimana penyakit dan
bencana yang kamu hadapi dahulu. Apabila saja terlintas di benak pemikiran,
kamu akan mengucapkan Alhamdulillah
dan kamu sendiri akan diselubungi kelazatan maknawi. Ini adalah kerana
kehilangan kesakitan atu sembuh daripada penyakit akan melahirkan kelazatan dan
perasaan kegembiraan. Dengan kesembuhan dan kehilangan penyakit itu, tempatnya
diganti atau ditanam denga kelazatan tersembunyi di dalam jiwa. Apabila sahaja
situasi ini diingati kembali, ia membuahkan rasa kemanisan dan kegembiraan yang
mendorong kepada kesyukuran dan memuji Ilahi.
Ini adalah kerana kehilangan
kesakitan melahirkan kelazatan dan kegembiraan. Kehilangan kesakitan dan
musibah telah menanam di dalam jiwa suatu kelazatan tersembunyi. Apabila sahaja
terlintas di pemikiran bahawa sesuatu telah terkeluar daripada bebanan
kesakitan, maka ia akan memperolehi kemanisan dan kegembiraan yang melahirkan
puji-pujian dan kesyukuran.
Manakala suasana kelazatan dan
kejernihan yang telah kamu alami dahulu dan situasi tersebut sedang diliputi
debu dan asap kesakitan lalu menyebabkan kamu berkata: Alangkah sakitnya!
Alangkah pedihnya! Maka ia berlaku kerana kehilangan nikmat tersebut
menyebabkan tertanam di dalam roh kamu suatu keadaan kesakitan tersembunyi yang
berpanjangan. Kesakitan ini akan berulang sengatannya sekarang jika ia diingati
kembali meskipun hanya melalui pemikiran yang sebentar terhadap kehilangan
kenikmatan yang diperolehi. Oleh itu, air mata kesedihan dan dukacita akan
terhambur keluar.
Kelazatan selama satu hari yang
diperolehi melalui jalan yang tidak syari’e kadang-kadang akan menyebabkan
seseorang itu berada dalam keadaan kesakitan maknawi selama setahun. Begitu
juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama
sehari akan membuahkan kelazatan maknawi selama beberapa hari, kerana ia
disulami oleh balasan pahala daripada Allah swt. Ia juga akan membuahkan
kelazatan maknawi yang lahir menerusi kesembuhannya daripada penyakit yang
sedang dihadapi itu.
Oleh itu, kamu hendaklah
benar-benar ingat akan natijah daripada penyakit sementara yang dialami.
Fikirkanlah tentang besarnya balasan pahala yang diharapkan terhasil melalui
celah-celah penyakit yang dihadapi. Berpeganglah dengan ksyukuran dan
lepaskanlah diri daripada mengadu kesakitan. Katakanlah: Wahai jiwa! Setiap keadaan akan berubah…….
Wahai saudaraku yang gundah
gulana akibat penyakit disebabkan terkenangkan kenikmatan dunia! Jika dunia ini
memang benar akan kekal selama-lamanya, jika kematian benar-benar dapat
dielakkan, jika taufan perpisahan dan kehilangan benar-benar akan berhenti
bertiup selepas ini, jika masa hadapan akan menanggalkan musim dingin yang
mencengkam, nescaya aku akan menyertai kamu dan merasa sedih serta menangisi
keadaanmu. Namun, kerana dunia ini akan mengeluarkan kita daripadanya dengan
berkata: Ayuh! Keluarlah…..Dan ia
memekakkan telingannya daripada mendengar pekikan dan jeritan minta tolong,
maka hendaklah meninggalkan perasaan cinta dan keinginan untuk kekal di
dalamnya sebelum ia menghalau dan meninggalkan kita. Caranya ialah dengan
mengambil bekalan daripada kesedaran yang dibangkitkan oleh penyakit dan
berusaha mengosongkan hati dan perasaan terhadap dunia sebelum dunia meninggalkan
kita.
Melalui peringatannya tentang
pengertian yang halus dan mendalam ini, sesuatu penyakit membisikkan ke dalam
benak hati kita dengan berkata: Binaan
badan bukan diperbuat daripada batu yang keras atau daripada besi. Bahkan ia
diperbuat daripada pelbagai bahan yang tersusun. Kesemua bahan itu amat mudah
menerima proses pemecahan, pembusukan dan perpisahan. Oleh itu, tidak perlu
bermegah. Sedarlah kelemahan kamu. Kenalilah Tuhan yang memiliki kamu. Fahamilah
tugas kamu. Pelajarilah hikmat dan tujuan kamu datang ke dunia ini.
Kenikmatan dan kelazatan dunia
ini tidak berkekalan. Terutamanya jika ia diperolehi melalui jalan yang tidak
syari’e. Sebaliknya ia akan menyebabkan perasaan menjadi sakit di samping
mendapat dosa dan kesalahan. Oleh itu, janganlah menangisi kehilangan
kenikmatan tersebut kerana sakit yang dihadapi. Bahkan fikirkanlah tentang
makna ibadat maknawi yang terkandung di dalam sakit yang dihadapi serta balasan
pahala tersembunyi di akhirat yang bakal diperolehi. Berusahalah untuk mencapai
perasaan yang murni lagi harum itu.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment