Friday, October 11, 2013

Melaka



Negeri Melaka sejarahnya hebat
Pelbagai kuasa turut terlibat
Kesultanan Melayu tinggi martabat
Negeri teguh daulat ternobat

Portugis datang melebar kuasa
Mengambil negeri secara paksa
Rakyat tempatan kurang selesa
Hidup tertekan sepanjang masa

Legenda Hang Tuah terus diingat
Lambang kesetiaan kuat semangat
Kepada sultan ditumpah keringat
Tidak berharap balasan pingat

Parameswara membuka negeri
Pokok Melaka tegak berdiri
Kijang putih pantas berlari
Kuat menendang anjing pun ngeri

Ayer Keroh Bandar baharu
Kemajuan pesat segenap penjuru
Taraf yang tinggi terus diburu
Bersatu padu tanpa cemburu

Bandar Hilir tempat terpilih
Tempat niaga pelancong bersilih
Budaya tinggi tiada beralih
Bukti sejarah tiada berdalih

Muzium samudera menarik hati
Replica bahtera megah menanti
Segala yang hebat menjadi bukti
Rakyat Melaka wibawa sejati

Pelancongan maju Melaka ternama
Rezeki lumayan dibawa bersama
Orang yang datang ingin berlama
Layanan mesra itu yang utama

A Famosa kubu Feringgi
Tempat sesuai di bukit tinggi
Kini kotanya ditinggal pergi
Dilawati orang petang dan pagi

Pekan Umbai tempat kunjungan
Datang ke sini dilepas jangan
Makanan laut kepala hidangan
Rasanya enak jadi rangsangan

Melaka maju melangkah deras
Lengkap semua penanda aras
Hasil rencana warga yang waras
Lahir dan batin sama selaras

Udang geragau bahan adunan
Dibuat cencaluk jadi penganan
Pembuka selera itu jaminan
Terlupa orang kiri dan kanan.

Negara Tercinta
Ghazali Lateh, 2013

No comments:

Post a Comment