Wahai pesakit yang tidak mampu
bersabar! Tujuan kedatangan manusia ke dunia ini bukanlah untuk
bernikmat-nikmat dan berlazat-lazat.
Buktinya: Kamu dapati setiap yang
hidup pasti akan meninggalkan dunia ini. Setiap yang muda akhirnya akan menjadi
tua. Setiap orang pasti akan merasakan kehilangan dan perpisahan dengan orang
yang tersayang. Dalam masa yang sama, kamu dapati manusia adalah makhluk
bernyawa yang paling sempurna, mulia dan mempunyai bekalan yang paling
mencukupi. Bahkan dia adalah tuan kepada seluruh makhluk yang lain.
Tetapi pelbagai penyakit dan
kesakitan tetap menerjah kehidupannya, ketika dia memikirkan tentang
kelazatan-kelazatan yang diperolehinya pada masa lalu dan bala bencana yang
akan dihadapinya pada masa hadapan. Lalu dia terpaksa menjalani kehudupannya
dalam keadaan kekeruhan dan kesulitan serta mencampakkan dirinya ke lembah yang
lebih hina daripada kedudukan haiwan.
Oleh itu, manusia datang kedunia
ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah dan tenggelam dalam
hembusan bayu yang merehatkan dan menyegarkan. Bahkan kedatangannya ke dunia
ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagiaan hidup yang abadi melalui jalan perniagaan yakni dengan menjadikan
umurnya sebagai modal yang besar. Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu
akan hidup dalam keadaan alpha kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat
walafiat.
Dunia pada pandangannya adalah
suatu yang indah dan lazat. Ketika itu, dia akan ditimpa penyakit lupakan
akhirat. Dia menjadi benci untuk mengingati mati dan kubur. Dia mensia-siakan
modalnya yang amat berharga itu. Dengan itu, datangnya penyakit dapat
membukakan matanya serta-merta. Seolah-olah penyakit itu berkata: Kamu tidak kekal hidup dan kamu tidak
dibiarkan begitu sahaja. Bahkan kamu dipertanggungjawabkan untuk menunaikan
satu tugas. Janganlah kamu terpedaya. Ingatlah sentiasa Tuhan yang mencipta
kamu. Ketahuilah bahawa kamu sedang menuju ke kubur. Persiapkan dan sediakan
diri kamu untuk menghadapinya.
Maka penyakit mengambil peranan
sebagai penasihat yang memberi peringatan. Oleh itu, tidak perlulah merasa
keluh kesah jika penyakit mendatangi kamu. Bahkan kamu hendaklah bernaung di
bawah bayangan kesyukuran. Jika penyakit yang kamu hadapi itu terlalu kuat,
maka hendaklah kamu banyak bersabar.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment