Wahai pesakit yang mengenangkan
akhiratnya! Sebenarnya sakit yang kamu alami adalah umpama tindakan sebuku
sabun. Ia membersihkan segala kekotoran yang terdapat pada diri kamu. Penyakit
yang dialami membuang segala dosa kamu. Ia menyucikan kamu daripada semua
kesalahan kamu. Telah terbukti di dalam hadis bahawa segala penyakit merupakan
penebus dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Dalam sebuah hadis, rasulullah
saw bersabda: Tiada seorang Muslim yang
ditimpa kesakitan, melainkan Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya,
sebagaimana dedaunan pepohon yang berguguran. (HR: Bukari)
Dosa adalah penyakit yang
berterusan dalam kehidupan yang abadi. Dalam kehidupan di dunia ini, ia adalah
penyakit maknawi yang menimpa hati, perasaan dan roh. Jika kamu bersabar dan
tidak mengeluh terhadap penyakit di dunia, kamu akan terselamat daripada penyakit-penyakit
yang amat banyak di akhirat kelak. Jika kamu lalai terhadap dosa-dosa kamu,
lupa terhadap akhirat dan cuai terhadap Allah, aku tegaskan bahawa kamu pasti
akan menghadapi suatu penyakit yang merbahaya.
Ia lebih merbahaya dan lebih
besar berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit dunia yang sementara itu.
Jauhkanlah diri kamu daripada peyakit yang merbahaya ini. Menjeritlah untuk
meminta pertolongan. Penyakit itu lebih merbahaya kerana hati, roh dan jiwa
kamu terikat dengan seluruh benda yang wujud di atas dunia ini. Juga kerana
segala saluran perhubungan akan terputus dicantas oleh pedang perpisahan dan
kehilangan, lalu menyebabkan kamu mengalami luka yang dalam.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi
jika kamu merasakan kematian itu bersifat selama-lamanya, kerana ketiadaan
makrifat terhadap akhirat. Ketika itu, seolah-olah kamu memiliki kewujudan yang
sakit dan mempunyai luka sebesar bentuk dunia. Ini memaksa kamu mencari rawatan
atau ubat yang hakiki bagi merawat kewujudan yang maknawi itu sebelum ia
dipisah, dilebur dan direputkan oleh pelbagai jenis penyakit dan kecederaan
yang tidak terkira banyaknya.
Aku yakin, kamu tidak akan
menemui rawatan ata penawarnya melainkan pada rawatan iman dan ubatnya yang
mujarab. Ketahuilah, jalan paling ringkas untuk mencapai rawatan tersebut
adalah melalui intaian dan jengukan
melalui jendela kelemahan dan
kefakiran yang menjadi fitrah manusia. Jendela ini pula hanya akan terbuka dengan mengoyakkan penyakit fizikal yang
menghijab kealpaan. Dengan itu, kamu akan mencapai peringkat makrifat terhadap
kekuasaan dan rahmat luas Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.
Orang yang tidak mencapa makrifat
kepada Allah akan menanggung gundah gulana dan bala bencana di kepalanya seluas
dunia dan segala isinya. Tetapi orang yang makrifat terhadap Allah, dunianya
akan dipenuhi dengan cahaya dan kegembiraan maknawi. Ini dapat dirasakannya
melalui kekuatan iman yang ada dalam dirinya. Kekuatan ini pula berbeza daripada
seseorang dengan seseorang yang lain. Sesungguhnya kesakitan zahir akan lenyap
dan tersungkur berhadapan dengan hujanan kegembiraan maknawi dan penawar lazat
yang terbit daripada keimanan.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment