Wahai pesakit yang sedang diuji
dan diduga! Melalui pengalamanku pada masa lalu, sekarang aku merasa penuh
keyakinan bahawa penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu
bentuk kebaikan Ilahi dan hadiah ketuhanan.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa
nabi saw bersabda : Sesiapa yang Allah
menghendaki kebaikan baginya, maka dia akan dikenakan musibah (HR Bukhari)
Beberapa orang pemuda telah
berjumpa denganku dalam tempoh lapan atau sembilan tahun ini. Mereka memintaku
mendoakan kesihatan mereka daripada penyakit-penyakit yang dihadapi, meskipun
aku bukanlah orang yang layak berbuat demikian. Aku dapati sesetengah daripada
mereka itu lebih banyak menghabiskan masa berfikir dan mengingati akhirat.
Tidak lagi mabuk dan tenggelam dalam kelpaan masa muda. Bahkan mereka sedikit
sebanyak memelihara dan menjaga diri daripada terjerumus ke lembah nafsu
kehaiwanan.
Oleh itu, aku memperingatkan
mereka bahawa penyakit yang masih boleh ditanggung itu sebenarnya adalah
pemberian ehsan daripada Allah swt. Aku berkata : Wahai saudaraku! Aku tidak menentang penyakit yang kamu hadapi. Aku
juga tidak merasa kasihan terhadap kamu kerana penyakit yang dihadapi sehingga
membolehkanku berdoa untukmu. Apa yang kuharapkan ialah agar kamu terus
bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana
selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, Allah Yang Maha Pencipta dan
Allah Yang Maha Pengasih itu pasti akan menyembuhkan kamu, Insya-Allah.
Aku juga berkata: Sesungguhnya sesetengah orang seperti kamu
sedang menggoncang dan meruntuhkan tiang kehidupan abadinya kerana mahu
memperolehi kenikmatan zahir yang sementara di atas dunia ini. Mereka hidup
dalam kealpaan kerana kesihatan yang dimiliki. Kepada mereka, kesihatan itu
adalah bala sebenarnya. Mereka meninggalkan solat, lupa kepada kematian dan
lalai daripada melaksanakan perintah Allah swt. Tetapi melalui penyakit yang
dihadapi, kamu dapat melihat kubur iaitu tempat persinggahan yang kamu sama
sekali tidak dapat melarikan diri daripadanya suatu hari nanti. Di samping itu,
kamu juga dapat melihat segala tempat-tempat persinggahan akhirat yang lain. Oleh
itu, segala tindakan dan perlakuanmu adalah berdasarkan apa yang dilihat itu.
Sebenarnya, penyakitmu adalah ibarat kesihatan bagimu. Manakala kesihatan yang
sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat
mereka.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment