Wahai pesakit yang gelisah tanpa
sebab! Kamu sebenarnya merasa gelisah terhadap tekanan dan kekerasan penyakit
itu sendiri. Maka kegelisahan itu akan menambahkan lagi beban sakit yang sudah
sedia ada. Jika kamu ingin meringankan kesakitan yang dialami, hendaklah
berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak berada dalam keadaan gelisah dengan
cara berfikir tentang faedah yang akan
diperolehi melalui penyakit yang dihadapi. Tentang pahalanya dan juga tentang
langkah yang seharusnya ditambah bagi menyembuhkannya. Cara ini dapat menghilangkan
kegelisahan dan seterusnya menyembuhkan penyakit yang dialami sehingga ke akar
umbi.
Memang kegelisahan (atau perasaan
was-was) menyebabkan penyakit yang ditanggung menjadi lebih berat dua kali
ganda. Kerana kegelisahan akan meniupkan penyakit maknawi ke dalam hati kesan
daripada penyakit zahir yang dihadapi. Maka penyakit zahir yang kamu hadapi
akan berkekalan kerana ia mempunyai sandaran daripada penyakit maknawi itu.
Tetapi jika kamu menghilangkan
gelisah dan segala bisikan hati yang tidak baik itu, dengan berserah kepada
Allah swt dan redha atas segala ketetapanNya juga dengan mengingati hikmat yang
diperolehi melalui sakit yang dialami, maka penyakit zahir itu akan
menghilangkan salah satu cabangnya yang paling penting daripada akar umbinya. Lalu
penyakit itu akan menjadi lebih ringan kerana satu bahagian daripadanya telah
hilang.
Jika penyakit zahir yang kau
alami itu diiringi oleh kegelisahan dan gundah gulana, penyakit itu yang pada
asalnya hanya sebesar satu per seratus daripada kegelisahan, akan membesar
sehingga menjadi satu per sepuluh. Tetapi jika perasaan gelisah itu
dihilangkan, sembilan persepuluh daripada kesan penyakit tersebut akan hilang.
Sebagaimana kegelisahan akan
menambahkan lagi sakit, begitulah juga ia akan menyebabkan seseorang pesakit
mencela hikmat dan rahmat Allh serta mengadu kesakitan dengan Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Mengasihani. Lalu dia akan diberikan tamparan bagi membetulkan
adabnya dengan semakin bertambah lagi penyakitnya, berlawanan daripada apa yang
diingininya. Kerana sebagaimana bersyukur akan menambah nikmat, maka begitu
juga keluhan dan celaan akan menambah sakit dan musibah.
Selain dari itu, kegelisahan juga
adalah penyakit. Rawatannya hanyalah melalui pengetahuan terhadap hikmat yang
diperolehi melalui sakit yang dialami. Jika mengetahui hikmat dan faedahnya,
kamu akan dapat menghilangkan kegelisahan itu. Oleh itu, hilangkanlah
kegelisahan kamu itu dengan penawar tersebut. Selamatkanlah diri kamu. Daripada
mengeluh dan mengaduh, sebaliknya kamu hendaklah berkata: Segala puji bagi Allah terhadap segala keadaan.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment