Wednesday, October 16, 2013

Khutbah Arafah 1434H ( 2 )


Para duyufurahman, para tetamu Allah :

Hari ini kita berada di padang Arafah. Mudah-mudahan keberkatan dan kemuliaan tempat berhimpun rasulullah dan para sahabat di sini, telapak-telapak kaki  kita juga berada bertepatan dengan tapak-tapak kaki mereka. Mengambil kemuliaan, mengambil kelebihan yang ditinggalkan oleh mereka yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Para duyufurahman, begitulah juga kita melihat. Kita akan berada di sini sehingga sampailah matahari terbenam. Jika Allah takdirkan umur kita dipanjangkan, kita akan berkumpul di Muzdalifah, bermabit bermalam mengutip anak-anak batu menuju ke Mina melontar Jamratul Aqabah. Di mana rasulullah saw melakukan yang sedemikian dan sesudah itu baginda kembali untuk menyembelih binatang. Yang mengikut riwayatnya sebanyak 63 ekor yang disembelih oleh rasulullah mengikut tahun dan 100 ekor yang disembelih oleh saidina Ali sebagai ibadah pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Allah Muhammad saw dan para sahabat.

Namun ditegaskan juga di sana, al-Quran mengambarkan, tidak sampai darah dan daging itu kepada Allah, pengorbanan yang dilakukan, yang sampainya ialah takwa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan inilah pakaian takwa yang kita pakaikan, yang kemudian bukan hanya sekadar tergambar pada pakaian harus dijelmakan di dalam hati. Sesudah kita melontar dengan doa dan juga harapan yang penuh syahdu. Mudah-mudahan ianya menjadi haji yang mabrur, sembelihan yang disembelihkan juga adalah sembelihan yang diterima Allah, sembelihan yang diukur pengorbanan hebat nabi Allah Ibrahim.

Ketika mana nabi Allah Ismail pandai berlari-lari, waktu pandai berbicara dan bercakap, Allah perintahkan untuk nabi Allah Ismail disembelih sehingga bertanya nabi Allah Ibrahim. Wahai anakku, apa pandangan kamu? Jawab anak yang begitu hebat, wahai ayah laksanakan perintah Allah kepadaku kerana ini perintah daripada Allah SWT. Walaupun satu-satunya anak kesayangan. Ayah, kamu akan dapati aku termasuk anak-anak yang mampu bersabar.

Mudah-mudahan sedikit ujian yang Allah berikan kepada kita kepanasan, sedikit ujian kita berada di dalam keadaan kesempitan. Namun para tetamu Allah, para duyufurahman, para jemaah haji sekalian tidak berapa hari lagi tuan-tuan akan hilang daripada suasana ini. Apabila selesainya haji, selesainya hari-hari tasyriq, tuan-tuan akan kembali ke kampong halaman masing-masing. Sudah tidak ada lagi rakan sebilik, sudah tidak ada lagi makanan yang dishare, yang dikongsikan bersama, sudah tidak ada lagi gurauan senda rakan-rakan sebilik. Sudah tidak ada lagi solat jenazah sesudah daripada solat-solat waktu yang kita lakukan. Mungkin barangkali sedikit ditempat-tempat kita. Sudah tidak ada lagi perpisahan di antara suami dan isteri pada bilik masing-masing. Hanya 40 hari penyerahan ketakwaan kepada Allah SWT.

Tahniah Tabung Haji yang menyambut ulang tahun yang ke-50 menguruskan sejak sekian lama untuk jemaah haji dan untuk kerajaan yang menyantuni duyufurahman pada setiap tahun melalui Tabung Haji.

Sidang hadirin hadirat yang dihormati Allah sekalian :
Mudah-mudahan kenangan-kenangan ini, we going to missing. Kita akan kehilangan semua ini. Namun yang tidak harus hilang, namun yang tidak harus lekang pada diri kita ialah perasaan suasana bertakwa kepada Allah SWT. Melalui proses ibadat yang dibentuk oleh ibadat haji sepanjang 40 hari tuan-tuan dan puan-puan berada di bumi Mekah, Madinah, bumi Arafah, Mina, Muzdalifah dan pada tempat-tempat yang lain. Mudah-mudahan kita akan hilang kalimat yang selalu kita laungkan Labbaik Allahumma Labbaik, Labbaik laa syarikka laka labbaik, Innal haamda wanni’mata laka wal mulk Laa syariika laka. Kita akan hilang takbir Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahil hamdu.  Kita akan hilang dengan semua tetapi hati dan perasaan kita tidak akan hilang untuk bertakwa kepada Allah.

Para duyufurahman, para tetamu Allah, wahai jemaah haji sekalian;
Marilah pada hari yang mulia, hari yang penuh kebesaran, pada hari Arafah, pada hari yang dijanjikan rasulullah saw bahawa sesungguhnya pintu-pintu langit terbuka, segala hijab disingkap, segala doa yang dipanjat dan dipohonkan kepada Allah SWT diterima Allah. Sesungguhnya rasulullah adalah benar di dalam janjinya dan sesungguhnya Allah begitu bergembira dengan hamba-hambaNya yang berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah pada saat, ketika dan juga di saat dan waktu Arafah yang seperti ini. Marilah kita mengambil kesempatan yang terbaik ini, marilah kita mengambil waktu yang terbaik ini, marilah kita mengambil ketika dan saat yang terbaik ini untuk kita sama-sama kita berdoa, memohon hajat apa yang kita perlukan kepada Allah SWT.

Dan sebelum daripada itu, marilah kita tidak lupa mengucapkan salam dan selawat ke atas junjungan nabi Muhammad saw kerana perintah Allah dalam al-Quran; Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu dan mengucaplah salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya.

Dan sabda rasulullah saw, barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat pastinya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.

Allaahumma shalli ‘ala Muhammadin wa ‘ala aali Muhammadin, kamaa shallaita ‘ala Ibraahiima wa ‘alaa aali Ibraahiima, wabaarik ‘alaa Muhammadin wa ‘alaa aali Muhammadin kamaa baarakta ‘alaa aali Ibraahiima fil ‘aalamiina innaka Hamiidun Majiid.

Wallahu a’lam.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
15 Oktober 2013
Arafah

No comments:

Post a Comment