Wahai para jururawat yang merawat
kanak-kanak yang tidak berdosa dan orang-orang tua yang pada hakikatnya adalah
sama dengan kanak-kanak kerana lemah dan tidak bermaya! Di hadapan kamu
terdapat perniagaan akhirat yang amat penting. Kamu hendaklah merebut
perniagaan ini.
Hendaklah kamu sentiasa merasa
rindu kepadanya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehinya. Penyakit
yang dialami oleh kanak-kanak adalah suntikan-suntikan tarbiah rabbani bagi
tubuh badan mereka yang masih lembut dan lemah, agar mereka membiasakan diri
dengannya, supaya mereka dapat menghadapi segala kesulitan kehidupan pada masa
akan datang. Penyakit-penyakit itu juga mengandungi pelbagai hikmat dan faedah,
sama ada untuk kehidupan mereka di dunia mahupun di akhirat.
Jadi, penyakit-penyakit itu dapat
membersihkan kehidupan kanak-kanak secara maknawi, sebagaimana ia juga dapat
membersihkan kehidupan orang-orang yang sudah dewasa dengan menghapuskan segala
dosa yang dilakukan. Maka suntikan-suntikan itu merupakan asas kepada
peningkatan diri secara maknawi dan paksinya pada masa akan datang bagi
kanak-kanak yang kecil itu, atau untuk kepentingan akhirat mereka.
Pahala yang terhasil daripada
penyakit-penyakit seumpama ini akan dicatatkan di dalam lembaran amalan kedua
ibu bapa atau di dalam lembaran amalan kebaikan ibu yang lebih mengutamakan
kesihatan anaknya daripada kesihatan dirinya sendiri. Kerana rahsia perasaaan
kasih sayang yang terdapat pada dirinya, sebagaimana telah dapat dibuktikan di
sisi ahli hakikat.
Menjaga dan mengambil berat
terhadap orang-orang tua yang sakit menjadi paksi kepada memperolehi pahala
yang besar, terutamanya jika orang tua itu ialah ibu bapa sendiri. Ia juga akan
menyebabkan seseorang memperolehi doa mereka. Di samping itu, hati mereka akan
gembira jika perkhidmatan yang diberikan kepada mereka dilakukan dengan penuh
kesetiaan dan ikhlas. Ia juga menyebabkan seseorang mendapat kebahagiaan di
dunia dan diakhirat. Ini sebagaimana terbukti di dalam banyak riyawat yang sahih
dan peristiwa sejarah.
Oleh itu, seseorang anak yang
soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya yang lemah, akan melihat di
kemudian hari anak-anaknya juga akan memberikan ketaatan yang sama kepadanya.
Sebaliknya anak derhaka yang sentiasa menyakiti ibu bapanya, di samping dia
akan dihumban ke dalam azab di akhirat, di dunia juga akan tenggelam di dalam
pelbagai kemusnahan.
Tetapi yang dimaksudkan di atas
bukanlah penjagaan terhadap orang-orang tua dan lemah serta tidak berdosa itu
dari kalangan kaum kerabat terdekat sahaja. Bahkan jika seseorang mukmin
terjumpa seorang tua yang sakit dan memerlukan penjagaan serta patut diberikan
penghormatan, maka menjadi kewajipannya untuk memberikan perkhidmatan dengan
penuh kesungguhan dan keikhlasan, sebagaimana terdapat persaudaraan keimanan
sejati. Inilah yang dituntut oleh Islam.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment