Audit Negara: Jumlah Ambulans Sedia Ada Tidak Dapat Tampung
Keperluan Operasi
KUALA LUMPUR: Empat hospital mengalami
kekurangan ambulans, sekali gus dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan
khususnya untuk kes kecemasan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara
2012.
Laporan yang dibentang di Dewan
Rakyat pada Selasa menyatakan bilangan ambulans sedia ada tidak dapat menampung
keperluan operasi, ditambah dengan aspek penyenggaraan yang tidak dipantau
secara berkesan.
Semakan audit mendapati Hospital
Seri Manjung di Perak kekurangan sembilan ambulans, Hospital Serdang di
Selangor (18), Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (11) dan Hospital
Umum Sarawak (16).
Berdasarkan rekod di Bahagian
Perkembangan Perubatan, sepanjang tempoh 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 124
ambulans terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan 44 kematian.
Semakan audit mendapati sehingga
Disember tahun lepas, 34 kes kemalangan berlaku melibatkan kos pembaikan
melebihi RM0.41 juta dibiayai oleh kementerian.
Menurut laporan itu, kementerian
menganggarkan perbelanjaan RM64.17 juta bagi tempoh 2010 hingga 2012 untuk
penyenggaraan ambulans di semua hospital kementerian yang dilaksanakan oleh
syarikat konsensi - Faber Medi-Serve Sdn Bhd, Pantai Medivest Sdn Bhd dan
Radicare (M) Sdn Bhd.
Meskipun secara keseluruhannya
pengauditan mendapati pengurusan ambulans memuaskan, terdapat beberapa
kelemahan yang perlu diberi perhatian, antaranya pindaan klausa kontrak tidak teratur
dan kontrak perolehan lewat ditandatangani antara 21 hingga 157 hari.
Bagi mengatasi kelemahan, Jabatan
Audit mengesyorkan tindakan seperti memantau penyelenggaraan ambulans,
meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kes kemalangan
diselesaikan segera, memastikan pindaan syarat perjanjian dibuat dengan teratur
dan disemak Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang.
Kementerian Kesihatan perlu
memastikan ambulans yang rosak dan terbiar dilupuskan dengan sewajarnya bagi
mengelakkan kesesakan ruang dan penurunan nilai berterusan, di samping
memastikan setiap ambulans sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat
digunakan.
Dalam pada itu, semakan audit
mendapati dari 2010 hingga 2012, terdapat lebihan perbelanjaan RM24.52 juta pada
pengurusan program latihan kejururawatan, dengan RM12.26 juta adalah bagi
menampung pemberian elaun kepada jururawat pelatih pada 2010 manakala bakinya
adalah pembayaran gaji kepada pegawai dan Kolej Jururawat.
Pengauditan terhadap pengurusan
program Latihan Kejururawatan kementerian yang dijalankan antara Jun hingga
September tahun lepas didapati memuaskan namun terdapat beberapa kelemahan
antaranya kekosongan perjawatan tidak diisi dan lantikan sebagai pengajar tidak
mematuhi garis panduan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM).
Selain itu, bayaran uniform dan
elaun jahit kepada pelatih 'outsourcing' tidak mengikut kontrak, pemberian
elaun upah jahit, uniform dan tuntutan perjalanan pelatih tanpa kelulusan pihak
berkuasa, kemudahan peralatan dan alat bantuan mengajar usang dan tidak
mencukupi.
Bagi mengatasi kelemahan itu,
kementerian disyorkan agar mengambil tindakan segera dalam membuat pengagihan
atau penempatan tenaga pengajar serta syarat lantikan pengajar perlu seiring di
antara ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan LJM bagi memastikan
standard kualiti pengajaran sama bagi semua institusi yang menawarkan program
jururawat di Malaysia.
Antara lain, perhatian sewajarnya
perlu diberikan terhadap kemudahan, peralatan infrastruktur dan prasarana yang
disediakan di Kolej Kejururawatan serta mengkaji terma-terma sesuatu kontrak
dengan teliti bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi sebelum kontrak
ditandatangani.
Kementerian Kesihatan perlu
merangka program kejururawatan yang lebih intensif bagi memastikan penghasilan
jururawat memenuhi keperluan kementerian meskipun kekurangan akan ditampung
institusi pengajian tinggi swasta. - BERNAMA
mStar Online
1 Okt. 2013
No comments:
Post a Comment