Amat malang hidupnya jika dia tidak merenung ataupun membuat refleksi diri,
supaya dapat bersyukur kepada Allah yang memberi nikmat hidup di dunia ini.
Harta amat berguna jika dimanfaatkan menjadi bekalan mati. Apa yang kita tidak
mahu ialah akibat menginginkan harta, manusia menjadi tamak dan lalai sehingga
dia lupa bahawa semua yang dimiliki itu tidak dapat dibawa mati.
Jadi jika seseorang itu hidup dari dalaman kepada luaran maka
bergantungannya kepada Allah swt sangat tinggi. Jika dia kehilangan barang,
duit dan sebagainya dengan sendiri dia akan merasa redha dan merasakan itu
bukan rezeki. Berpeganglah kepada prinsip bahawa rezeki kita tidak akan dapat
diambil tanpa keizinan daripada Allah swt.
Setiap yang berlaku pasti ada penyebabnya. Apabila seseorang itu memiliki
keyakinan begini, maka dia boleh bermuhasabah diri dengan berfikir, mengapa
duit saya hilang? Adakah saya tidak membayar zakat? Adakah saya tidak menolong
orang ataupun saya telah menganiayai orang lain?
Dengan bermuhasabah diri, kita dapat meningkatkan ketenangan di dalam diri
dan amalan kepada Allah swt. Setiap yang berlaku ke atas diri kita, perlu
diteliti sebagai teladan dan pengajaran, bagi memperbetulkan diri kita, supaya
tiada perasaan bimbang dalam diri kita.
Perkataan saya bimbang berkait dengan perkara yang belum berlaku.
Contohnya, ketika anak hendak menghadapi peperiksaan, rasa bimbang sekiranya
anak tidak dapat menjawab dengan baik ataupun bimbang anak gagal dan
sebagainya.
Mengapa kita perlu bimbang kerana perkara itu merupakan kewajipan untuk
kita tempuhi dan selesaikan. Oleh itu tukarlah perkataan bimbang kepada
perkataan prihatin. Contohnya, saya prihatin dengan anak saya yang akan
mmenghadapi peperiksaan.
Apabila menyebut perkataan positif iaitu prihatin, tindak balas akan
menjadi positif, dan kita akan proaktif dengan mengambil tindakan yang positif
bertanggungjawab membantunya. Misalnya menjaga kesihatan anak dengan
menyediakan makanan yang sihat, menjaga solatnya supaya apabila anak kita
menghadapi peperiksaan dia di dalam keadaa sihat dan tenang dan berdoa untuk
kejayaannya.
Saya membahagikan dan menyenaraikan kehidupan manusia ini kepada dua
bahagian iaitu :
a) Sebelah kiri, tiada ilmu, bimbang, risau dan takut
b) Sebelah kanan, berilmu, gembira, bersyukur, taqwa dan sihat
Perhatikan diri kita berada di bahagian mana, sebelah kanan atau kiri? Jika
kita daripada sebelah kiri maka padamlah sifat-sifat golongan kiri daripada
kamus hidup kita dan sebutlah perkataan yang positif seperti, saya prihatin
kepada perkara ini......
Orang yang bimbang adalah orang yang tidak fokus dan tidak ada tujuan dalam
hidupnya. Jika seseorang itu mempunyai tujuan hidup, dia akan berkata, saya
ingin memanfaatkan diri saya kepada orang lain, hidup saya berbakti kepada
hamba Allah yang lain.
Oleh itu amat rugi sekali jika kita menghabiskan waktu di dalam hidup kita
dengan perkara-perkara negatif, hanya kerana bimbang. Hapuskanlah perasaan itu
dan lawan perkataan bimbang dengan redha, yakin dan berserah. Insya-Allah hidup
akan lebih bahagia.
Wallahu a’lam
Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012
No comments:
Post a Comment