Wahai saudaraku yang sakit!
Memang benar, terdapat kesakitan fizikal pada penyakit yang kamu alami. Tetapi
terdapat kelazatan maknawi penting yang sedang mengelilingimu. Kelazatan ini
menghapuskan segala kesakitan fizikal itu, kerana kesakitan fizikal itu tidak
dapat mengatasi belas kasihan yang amat lazat itu, yang tidak diperolehi
semenjak kecil lagi.
Kini ia terbit sekali lagi di
dalam hati kedua ibu bapa dan kaum kerabatmu, jika kamu mempunyai ibu bapa dan
kaum kerabat. Kamu akan mengingati kembali layanan mesra dan pandangan yang
penuh dengan kasih sayang sebagaimana yang kamu perolehi ketika zaman
kanak-kanak. Segala dinding akan terungkai daripada kaum kerabat kamu lalu
mereka akan menjaga kamu semula dan mebdekati kamu dengan mencurahkan segala
perasaan kasih sayang dan kemesraan kerana penyakit yang ada pada dirimu dan
membangkitkan perasaan dalaman mereka.
Alangkah murahnya
kesakitan-kesakitan fizikal yang kamu alami jika dibandingkan dengan
perkhidmatan yang dipenuhi dengan kasih sayang dan kemesraan yang diberikan
oleh mereka. Ketika sihat, kamulah yang sentiasa berusaha dengan penuh
kebangaan untuk berkhidmat kepada mereka dan memperolehi keredhaan mereka. Tetapi ketika sakit, kamu pula yang
menjadi tuan yang memerintah mereka.
Dengan penyakit yang kamu alami
itu juga, kamu beroleh lebih ramai orang yang menyayangi dan membantumu dengan
penuh kasih sayang. Dengan itu, kamu menggabungkan mereka ke dalam golongan
yang berhak mendapat kelembutan dan kasih sayang kemanusiaan yang bersifat
semulajadi kepada manusia.
Di samping itu, dengan penyakit
yang kamu alami itu juga, kamu berpeluang mengambil cuti daripada tugas kamu
yang sulit dan memberatkan. Kamu sekarang tidak perlu melakukannya, bahkan kamu
sekarang sedang berehat daripada melakukannya. Oleh itu, tidak sepatutnya
sedikit kesakitan fizikal yang dialami itu menyebabkan kamu mengadu dan
mengeluh, bahkan sepatutnya kamu bersyukur terhadap kelazatan-kelazatan maknawi
itu.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment