Hikmat 8
Tidak ada jalan pintas di dunia
ini bila anda bercakap mengenai kejayaan dan kekayaan. Yang ada hanya jalan
pintas di tepi rumah anda hendak menuju ke rumah jiran. Dalam membina kejayaan,
kekayaan, sikap, keperibadian atau apa saja kebaikan, tidak ada jalan singkat –
sama dengan kota
Rom yang mengambi masa puluhan tahun untuk membinanya. Ibaratkan saja diri
anda, usaha anda ibarat membina sebuah kota
atau bandar besar yang boleh digunakan ratusan tahun kemudian. Membinanya
puluhan tahun, boleh digunakan ratusan tahun kemudian.
Apa yang terjadi hari ini adalah
sebaliknya. Saksikan sendiri betapa ramainya manusia yang tersungkur kecundang
kerana mencuba nasib, mencari-cari jalan singkat yang sememangnya tidak ada.
Mencari jalan singkat hanya akan menyingkatkan nyawa sendiri. Perhatikan saja,
buktikan sendiri bagaimana ramainya manusia yang mensia-siakan usia selama
hidup mencuba nasib mencari jalan singkat. Di hujung usia mereka hanya mendapat
angin kerana sememangnya sejak zaman purbakala hingga akan datang tidak akan
ada apa yang dikatakan jalan singkat itu.
Jika anda masih lagi mencari-cari
jalan singkat itu, hentikan serta-merta dengan
menoleh ke belakang sebentar. Selama ini, apa sebenarnya yang anda temui
dengan mencari-cari jalan singkat itu? Benarkah anda menemui apa yang
dicari-cari atau hanya membazirkan masa? Jika benar anda telah menemui apa yang
dicari melalui jalan singkat selama ini – teruskan. Jika selama ini hanya
membazirkan masa, adakah akan diteruskan juga?
Pastikan juga antara membuat dengan membina. Jika ia perkara kecil-kecilan boleh disebut sebagai
membuat yang juga tidak ada jalan singkat. Apatah lagi jika ia dikategorikan
sebagai membina – ia memakan masa yang panjang bahkan seumur hidup.
Wallahu a’lam.
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006
No comments:
Post a Comment